LYLES (tengah) memenangi acara 200m di Stadium  Letzigrund Stadion, Zurich. FOTO
LYLES (tengah) memenangi acara 200m di Stadium Letzigrund Stadion, Zurich. FOTO
Reuters

Zurich: Jaguh Amerika Syarikat Noah Lyles dan Sha'Carri Richardson mengesahkan status mereka sebagai atlet terpantas dunia selepas meraih kemenangan di Liga Berlian Weltklasse awal pagi tadi.

Sha'Carri yang memenangi gelaran dunia pertama acara 100 meter (m) wanita di Budapest minggu lalu dengan catatan 10.65 saat (s) meninggalkan pencabar pada 30m terakhir di Zurich untuk meraih pingat emas dengan catatan 10.88s.

"Jujurnya, latihan saya di sini meletihkan. Fizikal, mental dan emosional namun kemenangan ini tetap memberikan kepuasan kepada saya," katanya.

Lyles pula yang memenangi tiga acara 100m, 200m dan 4x100 di Hungary mengatasi cabaran rakan sepasukan Erriyon Knighton dalam acara 200m dengan catatan 19.80s manakala Knighton mencatat 19.87s di tempat kedua.

"Persaingan tetap sengit," kata Lyles. "Semua orang mahu menewaskan saya dan mereka mahukan kek dan mahkota itu tetapi saya tak akan membenarkan mereka mengambilnya."

Liga Berlian awal pagi tadi adalah kejohanan utama pertama sejak kejohanan dunia tamat Ahad lalu dan menampilkan 14 pemenang di Budapest.

Jaguh Jamaica Shericka Jackson mengekalkan dominasinya selepas mudah menjuarai 200m. Empat hari selepas mencatat masa kedua terbaik dalam sejarah 21.41s di Budapest, dia memenangi acara itu di Zurich dengan catatan 21.82s.

Kyron McMaster dari British Virgin Islands mencipta kejutan apabila mengatasi juara bertahan Karsten Warholm yang tewas kali pertama dalam acara 400m lari berpagar musim ini menerusi catatan 47.27s meninggalkan jaguh Norway itu di tempat kedua yang mencatat 47.30s.

Sirkit Liga Berlian seterusnya berlangsung di Xiamen, China esok dan Brussels pada 8 September sebelum menutup tirai di Eugene pada 16-17 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 11:29 AM