PEMAIN JDT mengadakan latihan sebelum bertemu Pahang Rangers pada final kedua MPFL. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEMAIN JDT mengadakan latihan sebelum bertemu Pahang Rangers pada final kedua MPFL. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Ketinggalan empat gol tidak bermakna Johor Darul Ta'zim (JDT) menyerah kalah kepada Pahang Rangers yang akan ditentang di pertemuan final kedua Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023, esok.

Ketua pasukan JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq berkata di atas kertas agak mustahil untuk JDT menewaskan pelawat yang berkelebihan empat gol, selepas mencatat kemenangan 7-3 pada final pertama di Stadium Tertutup SUKPA, di sini Sabtu lalu.

Namun katanya, pemain JDT pastinya akan turun dengan satu matlamat iaitu mencatat kemenangan yang mungkin boleh mengubah kedudukan sebagai juara liga musim ini.

"Insyaallah kita akan berjuang sehabis baik memberi tentangan kepada Pahang Rangers, beraksi di gelanggang sendiri dibantu sokongan peminat tempatan mungkin dapat memberi kelebihan untuk mencatat kejayaan diharapkan.

"Pelawat mempunyai pengalaman luas di pentas kebangsaan dan antarabangsa, kelebihan itu pastinya akan digunakan untuk mereka mencatat keputusan diharapkan terutama dengan bekalan empat gol," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, janji pemain JDT hanya satu iaitu untuk memberi persembahan terbaik dalam usaha mencatat keputusan diharapkan walaupun berhadapan rintangan penuh liku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 5:37 PM