AZRUL Hadee (kanan) waspada dengan kelibat pemain Pahang Rangers. FOTO MOHD RAFI MAMAT
AZRUL Hadee (kanan) waspada dengan kelibat pemain Pahang Rangers. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Azrul Hadee Mohd Taufiq tidak menganggap pemain Pahang Rangers, Sergio Jamur De Sousa sebagai ancaman utama pada saingan final kedua Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023, Isnin depan.

Katanya, walaupun rekod jaringan pemain kelahiran Brazil itu kini mencecah 14 gol, itu bukan faktor utama menyebabkan dia terlalu bimbang dengan prestasi pemain memiliki kelebihan rembatan kaki kiri itu.

"Tidak dinafikan dia (Sergio Jamur) adalah pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa, memiliki tendangan kencang dan kebolehan menggelecek yang menjadi senjata utamanya menghasilkan gol.

"Pada final pertama di Stadium Tertutup SUKPA, Sabtu lalu, Sergio Jamur menghasilkan dua gol menerusi sepakan kencangnya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah memandang rendah dengan pemain Pahang Rangers yang lain kerana mereka turut memiliki kelebihan menghasilkan jaringan apabila mendapat peluang.

Justeru, Azrul Hadee berkata, pemain JDT perlu lebih berhati-hati dengan semua pemain pelawat dan beraksi di gelanggang sendiri bukan menjadi kelebihan buat mereka bangkit selepas ketinggalan 3-7.

Pada perlawanan akhir pertama Sabtu lalu, Pahang Rangers menewaskan JDT 7-3 dan perbezaan empat gol menjadi kelebihan besar buat pelawat berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, 14 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 8:25 PM