GONZALEZ ingin pastikan kejayaan pada pertemuan dengan Terengganu, esok. FOTO MOHD RAFI MAMAT
GONZALEZ ingin pastikan kejayaan pada pertemuan dengan Terengganu, esok. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Corak permainan menyerang bagi mendapatkan gol awal akan dilakukan skuad Pahang Rangers FC pada pertemuan dengan Terengganu pada perlawanan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Stadium Tertutup Sukpa, petang esok.

Menerusi gol awal sahaja dapat mematahkan tumpuan pemain lawan yang pastikan membawa misi mencatat keputusan positif di gelanggang lawan walaupun usaha berkenaan terlalu berat untuk diterjemahkan.

Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas, berkata dengan prestasi pemain yang berada di kemuncak selepas mencatat semua empat perlawanan musim ini, harapan mencatat kemenangan ke atas lawan esok dilihat lebih cerah.

Katanya, dia yakin pemain akan dapat mengalas tanggungjawab yang diberikan seperti dilakukan ketika menewaskan Sabah, Kedah, Sabah, KPT-PST Mustangs dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kini Pahang Rangers berada di tangga teratas kumpulan A apabila mengumpul 15 mata.

"Saya mengharapkan pemain dapat mengikut percaturan dan corak permainan yang telah diatur pada sesi latihan sebelum ini, pemain tidak boleh banyak melakukan kesilapan terutama di kawasan gol kerana ia boleh mengundang padah.

"Kemenangan 6-1 ke atas ATM di tempat lawan minggu lalu, diharap dapat dilakukan sekali lagi seterusnya meraih tiga mata penuh," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pasukan Terengganu memiliki kekuatan tersendiri, justeru pemain Pahang Rangers tidak boleh memandang rendah skuad pelawat yang pastinya turut impian menewaskan tuan rumah.

Bagi penyerang import Tok Gajah, Matheus Gonzalez dia berjanji untuk memberi persembahan yang terbaik dalam memastikan kejayaan berpihak pada pasukan Pahang Rangers seterusnya dapat mengukuhkan lagi kedudukan di tangga teratas liga.

"Semua pemain yang diberi tanggungjawab esok perlu memberi persembahan terbaik dengan membentuk persefahaman berkesan ketika melakukan serangan serta bertahan.

"Pelawat bukan pasukan yang lemah, mereka memiliki kelebihan tersendiri. Tersilap langkah kita akan menerima aib di gelanggang sendiri," katanya yang menjaringkan satu gol ketika pertemuan dengan ATM.

Beliau berkata, kehadiran penyokong setia Pahang Rangers petang esok dapat meningkatkan lagi semangat pemain seterusnya dapat menghasilkan persembahan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 3:46 PM