BERBASIKAL antara disiplin yang terdapat dalam Kenanga Man of Steel Triathlon 163. FOTO Gambar Hiasan
BERBASIKAL antara disiplin yang terdapat dalam Kenanga Man of Steel Triathlon 163. FOTO Gambar Hiasan

Kuala Lumpur: Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang bakal berlangsung esok dan Ahad ini bakal memenuhi impian mereka yang ingin merasai pengalaman cabaran sukan lasak triatlon seperti di Sukan Olimpik atau Ironman.

Ini kerana, Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang kali pertama bakal dianjurkan di negara ini adalah cabaran bertaraf antarabangsa yang menawarkan keseimbangan jurang jarak antara Sukan Olimpik serta Ironman bagi tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal dan berlari.

Jika jarak berenang untuk Sukan Olimpik adalah 1.5 kilometer (km) serta 3.8km untuk Ironman, jarak bagi Kenanga Man of Steel Triathlon 163 adalah 3km. Acara berbasikal pula menyaksikan Kenanga Man of Steel Triathlon 163 menawarkan cabaran kayuhan sejauh 130km berbanding 40km untuk Olimpik serta 180km bagi Ironman.

Manakala bagi acara larian pula, Kenanga Man of Steel Triathlon 163 menetapkan jarak 30km berbanding 10km untuk Olimpik dan 42km bagi Ironman.

Dengan pembaharuan ditawarkan oleh Kenanga Man of Steel Triathlon 163, ia diharap dapat memberikan kepuasan maksimum kepada peserta tempatan serta antarabangsa, yang selama ini mungkin menyimpan impian untuk cuba mencabar diri masing-masing, sama seperti atlet profesional yang beraksi di Olimpik dan Ironman.

Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang kali pertama dibawakan khas oleh Kenanga Investment Bank Berhad, bakal berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya Presint 6, lokasi paling sesuai di mana ia mampu memenuhi cabaran berenang, berbasikal serta berlari.

Ketua Urus Niaga & Perniagaan Institusi, Chan Tuck Kiong berkata, perjalanan penajaan Kenanga dalam dunia triatlon bermula pada 2020.

"Kami juga merupakan penaja bagi siri triatlon pertama di Malaysia, yang membabitkan empat acara triatlon Jarak Olimpik diadakan di Putrajaya, Bandaraya Melaka, dan Port Dickson yang dinamakan Siri Triatlon Kenanga 2022. Ia menyaksikan kejayaan dan sambutan yang memberangsangkan daripada peserta dan komuniti sekali gus meningkatkan semangat kami untuk memberi komitmen di peringkat seterusnya.

"Tahun ini, kami berbesar hati menjadi penaja utama untuk Kenanga Man of Steel 163 yang julung kali diadakan, triatlon yang merangkumi gabungan jarak 163km membabitkan disiplin renang, berbasikal dan larian. Acara luar biasa ini mempamerkan ketabahan, keazaman dan dedikasi yang luar biasa daripada para peserta kerana mereka perlu mengharungi cabaran fizikal dan mental yang amat sukar," katanya.

Selain menyeru kepada gaya hidup sihat, Kenanga Man of Steel Triathlon juga dapat mempromosikan Malaysia menerusi sektor pelancongan melalui penganjuran acara sukan bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 4:39 PM