SIRI ketiga Kenanga Triathlon Series bakal berlangsung selama dua hari bermula 20 Ogos ini.
SIRI ketiga Kenanga Triathlon Series bakal berlangsung selama dua hari bermula 20 Ogos ini.

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan penganjuran dua siri sebelum ini, cabaran aktiviti lasak Kenanga Triathlon Series bakal bersambung dalam siri ketiga yang berlangsung selama dua hari bermula 20 Ogos ini di Admiral Marina Cove, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Seperti dua siri terdahulu yang berlangsung di Putrajaya dan Melaka, siri ketiga juga bakal menjanjikan cabaran lebih getir kepada setiap peserta yang bakal menguji ketahanan fizikal dan mental masing-masing dalam tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal serta berlari.

Pengarah perlumbaan Kenanga Triathlon Series, Eugene Chan berkata, untuk siri ketiga kali ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila seramai 1,400 peserta sudah mengesahkan penyertaan.

"Pada siri pertama, sebanyak 500 peserta mengambil bahagian tetapi ia bertambah di siri ketiga ini kepada 1,400 peserta. Selaku penganjur, kami sememangnya sangat gembira dengan sokongan yang diberikan kepada Kenanga Triathlon Series.

"Ini kerana, seperti yang kita semua ketahui, pandemik Covid-19 masih lagi belum berakhir dan semua pihak termasuk peserta masih terkesan dari sudut kewangan tetapi mereka tetap memberi sokongan kepada acara seperti ini.

"Siri ketiga akan berlangsung selama dua hari di mana hari pertama membabitkan penyertaan peserta remaja berusia dari 10 sehingga 17 tahun. Hari kedua pula membabitkan peserta dewasa berumur dari 18 hingga 85 tahun," katanya.

Eugene berkata, jumlah 1,400 peserta itu terdiri daripada 13 negara sekali gus secara tidak langsung dapat memperkenalkan Port Dickson iaitu antara tempat tumpuan utama pelancong di negara ini kepada peserta dari luar negara.

"Bagi kami, kehadiran peserta dari 13 negara ini adalah satu kejayaan besar kerana dapat menarik minat peserta luar negara.

"Port Dickson pula bukanlah asing untuk acara triatlon. Banyak acara triatlon sudah dianjurkan di Port Dickson sejak 20 tahun lalu. Jadi penganjuran Kenanga Triathlon Series kali ini umpama menghimpunkan kesemua peserta triatlon dari seluruh negara Asia.

"Kami sendiri pernah menganjurkan acara triatlon yang membabitkan penyertaan seramai 2,800 peserta di Port Dickson.

"Kita sedia maklum Port Dickson adalah antara pusat pelancongan utama di negara ini terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang dan selatan tanah air.

"Jadi menerusi acara seperti ini, ia juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi sektor pelancongan di Port Dickson kepada peserta dari luar negara," katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof dijangka akan hadir untuk menyempurnakan acara pelepasan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:35 PM