BERBASIKAL antara disiplin yang perlu digilap untuk menyertai triathlon.
BERBASIKAL antara disiplin yang perlu digilap untuk menyertai triathlon.
Hafiz Ithnin


BAKAT yang tidak disangka-sangka! Begitulah boleh dikatakan kepada anak kelahiran Johor Darul Takzim ini kerana dia tidak pernah mempunyai impian untuk serius di dalam sukan triathlon.

Ketika masih menuntut di sekolah, hanya bola jaring menjadi sukan yang disertainya sehingga melanjutkan pengajian peringkat sarjana di United Kingdom.

Pemilik nama Noor Zakira Zulrimi, 32, atau lebih mesra disapa Kyra itu kemudian aktif di dalam aktiviti kecergasan di gimnasium seperti bermain 'indoor cycling.'

Beliau menyertai larian pertama pada 2017 dan ketika itu sebenarnya beliau perlu menggantikan kawan di gimnasium untuk berlari sejauh 21 kilometer (km).

"Ketika itu saya tidak mempunyai pengalaman langsung menyertai larian sejauh jarak berkenaan. Namun, saya dapat menghabiskannya dalam tempoh dua jam sahaja.

"Ketika itu, saya mula sedar bakat saya ada di dalam bidang larian dan terus mengasah prestasi," katanya.

Begitu juga dengan berbasikal, beliau menyertainya kerana diajak rakan gimnasium untuk aktiviti berkenaan pada 2018.

"Ketika itu kami baru habis solat Terawih. Kawan saya meminjamkan basikal dan sebulan kemudian saya membeli basikal sendiri. Basikal pertama saya adalah basikal terpakai," katanya.

Katanya, dari semasa ke semasa beliau menyertai pelbagai acara perlumbaan membabitkan berbasikal dan larian atau dikenali sebagai duathlon.

"Pada 2019 saya mengambil keputusan untuk menyertai acara triathlon antarabangsa yang popular di Malaysia iaitu Ironman. Saya ambil kategori half Ironman yang menggabungkan 1.9km berenang, 90km berbasikal dan 21.1km larian.

BERLATIH larian bersama rakan-rakan yang aktif dalam triathlon.
BERLATIH larian bersama rakan-rakan yang aktif dalam triathlon.

BERJAYA bergelar juara Putrajaya Trifactor pada 2019.
BERJAYA bergelar juara Putrajaya Trifactor pada 2019.

MENDUDUKI tangga terbaik di dalam Ironman Langkawi 2019.
MENDUDUKI tangga terbaik di dalam Ironman Langkawi 2019.

"Sebenarnya ketika mendaftar saya tidak mempunyai pengalaman berenang dan saya hanya daftar sahaja kemudian baru fikirkan mengenai latihan. Selama lima bulan saya memberi tumpuan kepada latihan renang memandangkan larian dan berbasikal saya sudah pun mempunyai pengalaman," katanya.

Ternyata pengalaman pertama itu, Kyra berjaya menduduki tempat keempat dalam kategori usianya dan tempat kedua untuk keseluruhan peserta dari Malaysia. Sekali gus, Kyra mendapat tawaran untuk menyertai Ironman World Siries, Ironman 70.3 World Championship di New Zealand dalam kategori half.

"Namun, saya tidak pergi ke New Zealand kerana acara itu ditangguhkan berikutan penularan kes Covid-19," katanya.

Kyra kembali menyertai Ironman di Langkawi pada 2022 dengan mengambil acara penuh membabitkan berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari 42km.

"Saya dapat menamatkan acara itu dalam masa 13 jam 35 minit. Sebenarnya melebihi masa sasaran saya iaitu 12 jam 30 minit memandangkan tanpa disedari saya sudah dijangkiti Covid-19.

"Sebaik sahaja tamat acara saya dimasukkan ke wad dan oksigen saya sudah pun menurun kepada 70 peratus. Ia suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana pada awalnya saya menyangkakan prestasi saya menurun disebabkan tersalah makan rupanya akibat Covid-19," katanya.

Pada tahun ini Kyra dalam persediaan untuk menyertai Ironman World Championship Kailua-Kona di Hawai, Amerika Syarikat pada Oktober ini.

Kyra berkata, walaupun beliau agak lewat menyertai sukan triathlon tetapi baginya umur hanyalah angka. Perkara paling utama adalah semangat dan disiplin untuk mengejar impian di dalam sukan itu.

"Tiada erti terlambat untuk saya kerana apabila kita inginkan sesuatu perlu dilakukan bersama usaha. Latihan dengan baik dan sentiasa berdisiplin. Jadi, kita boleh menggilap bakat untuk terus ke hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 7:01 AM