Hafiz Ithnin

Pada mulanya hanya sebagai pemerhati, memasang cita-cita dan akhirnya kini mereka antara peserta aktiviti sukan lasak yang terkenal dengan cirinya yang mencabar stamina iaitu triatlon.

Kegiatan itu yang menggabungkan tiga kategori iaitu berenang di laut terbuka, berbasikal dan larian jarak jauh sememangnya memerlukan disiplin latihan yang tinggi.

Ramzulhakim Ramli dan isterinya, Diana Hazari tidak menyangka menyaksikan acara itu yang dianjurkan Ironman sekitar sembilan tahun lalu di Langkawi menjadikan mereka menanam hasrat untuk beraksi di dalam arena berkenaan.

Ibarat cinta pandang pertama, usaha untuk ‘meminang’ menyertai acara itu dilakukan penuh tekad sebaik saja pulang ke Kuala Lumpur dan kini, hasilnya berbaloi kerana mereka antara peserta yang berjaya menamatkan beberapa siri Ironman yang diadakan di Malaysia dan luar negara.

DIANA (dari kiri), Amir dan Ramzul turut aktif dalam aktiviti menyelam skuba.
DIANA (dari kiri), Amir dan Ramzul turut aktif dalam aktiviti menyelam skuba.

Ramzulhakim berkata, sebelum mereka terbabit dalam kejohanan sukan lasak itu kali pertama pada 2013, dia hanya menyertai larian maraton dengan hasrat untuk menurunkan berat badannya yang ketika itu mencecah 86 kilogram (kg).

Katanya, mencabar diri untuk menyertai larian sejauh 42.2 kilometer (km) untuk kali pertama pada 2009 bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan dia berlatih secara intensif bagi memastikan mampu sampai ke garisan penamat.

“Bermula kejayaan tiba di garisan penamat dalam acara larian itu, ia menjadi perintis kepada saya terbabit dalam acara sukan lasak yang mampu mencabar stamina secara keseluruhan.

“Saya mendapat sokongan yang baik daripada isteri kerana dia seorang yang aktif bermain bola jaring berbanding saya yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang sukan. Kini, kami berdua mempunyai minat sama iaitu mencabar kemampuan diri dalam triatlon,” katanya yang kini mempunyai berat badan 66kg.

AKTIVITI sukan lasak mengeratkan hubungan keluarga Ramzul.
AKTIVITI sukan lasak mengeratkan hubungan keluarga Ramzul.

Pasangan yang mendirikan perkahwinan 16 tahun lalu itu kini berjaya mencatat sejarah diri dalam beberapa acara Ironman contohnya menamatkan cabaran pada Ironman Malaysia Langkawi sebanyak dua kali, masing-masing pada 2015 dan 2018. Manakala di luar negara, Ironman Italy Emilia-Romagna 2017 dan Ironman Copenhagen 2018.

Jelasnya, Diana juga berjaya tiba di garisan penamat sebanyak dua kali iaitu dalam Ironman Malaysia Langkawi 2017 dan Ironman Copenhagen 2018.

“Sebelum menyertai acara triatlon jarak jauh Ironman, kami terlebih dahulu menyertai acara triatlon jarak pendek seperti acara sprint dan olimpik, dan jarak sederhana atau ‘half Ironman’ di Malaysia.

“Bagi acara triatlon jarak jauh seperti Ironman, perancangan teliti diperlukan kerana program latihan memerlukan masa yang lama. Selain itu, aspek nutrisi, latihan dan persediaan pada hari perlumbaan seperti kelengkapan dan logistik, juga harus diambil kira untuk memastikan berjaya menamatkan perlumbaan dengan baik,” katanya yang berlatih 18 jam seminggu.

LATIHAN intensif diperlukan bagi memantapkan daya tahan Ramzul ketika beraksi di arena triatlon.
LATIHAN intensif diperlukan bagi memantapkan daya tahan Ramzul ketika beraksi di arena triatlon.

Ibu bapa kepada tiga cahaya mata itu juga melihat, acara sukan lasak itu bukan menjadi medan untuk mereka bersaing sesama sendiri tetapi ia lebih kepada membantu dan menyokong antara satu sama lain.

“Kami tidak pernah mencabar antara satu sama lain kerana merasakan cabaran bukan di antara kami berdua. Bagi kami, cabaran sebenar adalah untuk menjadi ibu bapa kepada tiga cahaya mata kami, untuk berjaya dalam kerjaya dan pada masa yang sama, tetap komited dengan latihan Ironman. Membahagikan masa kami yang terhad adalah cabaran yang terbesar,” katanya.

RAMZUL (kanan) bersama anak perempuannya, Dania ketika menyertai Kejohanan Powerkids tahun lalu.
RAMZUL (kanan) bersama anak perempuannya, Dania ketika menyertai Kejohanan Powerkids tahun lalu.

Jelasnya, memandangkan aktiviti itu memerlukan komitmen yang tinggi, dia dan isteri banyak meluangkan masa bersama dan saling memberi sokongan di antara satu sama lain.

“Hasil daripada aktiviti itu, komunikasi kami berdua lebih lancar, sensitif antara satu sama lain dan perbincangan untuk menyelesaikan masalah dan tekanan lebih mudah,” katanya.

Mengakhiri temubual, Ramzulhakim memberitahu, dia dan Diana merancang untuk menyertai Ironman di Barcelona pada Oktober depan.

ANAK lelaki Ramzul, Aidan turut aktif dalam acara renang.
ANAK lelaki Ramzul, Aidan turut aktif dalam acara renang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:03 AM