ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas ketika menyertai program Port Dickson International Triathlon 2018. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas ketika menyertai program Port Dickson International Triathlon 2018. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


“Sudah beberapa tahun kami menyertai program ini, tidak sangka kali ini ada insiden yang mengejutkan,” kata seorang peserta Port Dickson International Triathlon (PDIT) 2018 dari Hong Kong yang mahu dikenali sebagai Hau, 40-an.

Hau berkata, dia tidak menyangka rakan senegaranya, Yuen Chi Yuen, 41, hilang dipercayai lemas di Pantai Batu 5, Port Dickson memandangkan rakannya itu seorang yang aktif dan lasak.

Katanya, Yuen dipercayai hilang ketika acara renang bagi kategori ‘Olympic Distance Triathlon’ yang memerlukan peserta berenang, berbasikal dan berlari.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan penganjur, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) sebelum bergegas ke lokasi.

“Selain Yuen dan isteri, dua anaknya masing-masing berusia 12 dan 10 tahun turut menyertai program berkenaan bagi acara kanak-kanak.

“Yuen memang meminati sukan lasak dan kami sudah menyertai program ini sejak beberapa tahun lalu. Sebelum ini semuanya selamat dan tiada insiden. Namun kali ini berlaku tragedi,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Kata Hau lagi, mereka sudah berada di sini sejak seminggu lalu bersama 30 rakan senegara dan keluarga, semata-mata mahu mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

“Saya berharap Yuen dapat dijumpai dalam keadaan selamat kerana kedatangan kami di sini selain menyertai sukan lasak, kami juga mahu beristirehat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan selepas panggilan 11.55 pagi, kini diperluaskan di kawasan dua batu nautika dari lokasi acara.

Katanya, pihaknya menggunakan jet ski dan empat bot dengan kekuatan 43 anggota untuk mencari mangsa, dan turut disertai 10 anggota polis.

Operasi SAR turut membabitkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan tiga pegawai dan 10 anggota serta enam kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Terdahulu seorang peserta tempatan acara itu ditemui lemas ketika melakukan disiplin sama di Pantai Batu 5, kira-kira 8 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang baru berenang sejauh 750 meter.

Katanya, mangsa yang lemas ditemui terapung oleh pasukan pengiring sebelum dibawa ke pantai dan dibantu pasukan paramedik yang memberi bantuan pernafasan.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudiannya dihantar ke Hospital Port Dickson sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Seramai 2,300 peserta dari 39 negara mengambil bahagian dalam sukan lasak itu yang berlangsung dua hari mulai semalam di Avilion Admiral Cove, di sini.

Pelepasan peserta bagi edisi ke-17 anjuran LPNS dan MPPD itu disempurnakan Menteri Besar, Aminuddin Harun pada 7 pagi.

Empat kategori dipertandingkan iaitu Sprint Triathlon yang membabitkan renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan berlari pada jarak lima kilometer.

Bagi kategori Olimpik Distance Triathlon, peserta perlu berenang sejauh 1.5 kilometer, berbasikal 40 kilometer dan berlari sejauh 10 kilometer.

Dua lagi kategori ialah untuk kanak-kanak iaitu Kids Triathlon yang memerlukan peserta berenang 150 meter, berbasikal empat kilometer dan berlari 800 meter serta satu lagi kategori berenang 300 meter, berbasikal lapan kilometer dan berlari 1.6 kilometer.

Berita berkaitan:

Peserta triatlon lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 4:47 PM