IFEDAYO Olusegun (kiri) meledak dua gol ketika bertemu Perak FC. FOTO IHSAN PDRM FC
IFEDAYO Olusegun (kiri) meledak dua gol ketika bertemu Perak FC. FOTO IHSAN PDRM FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih PDRM FC, P Maniam percaya gandingan Ifedayo Olusegun dan Bruno Suzuki mampu memainkan peranan proaktif di barisan hadapan pasukan itu, selepas mereka berjaya membantu PDRM meraih kemenangan pertama Liga Super.

Ifedayo dan Bruno masing-masing meledak dua dan satu gol untuk membantu skuad The Cops melakar kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Perak FC, 3-2, dalam aksi di tempat lawan, Sabtu lalu.

Menurut Maniam, walaupun kedua-dua penyerang terbabit baharu digandingkan manakala sebahagian besar mereka yang menganggotai pasukan kali ini adalah pemain baharu, mereka cepat menyesesuaikan diri sekali gus memberi petanda positif.

"Ifedayo dan Bruno sudah lama di pentas liga kita dan mereka tahu peranan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam sesuatu perlawanan.

"Kedua-duanya masih memiliki naluri yang tinggi di hadapan gawang gol dan jika mendapat bantuan yang baik daripada rakan lain, saya yakin mereka boleh menjaringkan gol lagi selepas ini.

"Namun begitu, PDRM bukan semata-mata mengharapkan mereka berdua tetapi juga pemain lain untuk memainkan peranan yang sama dan bertindak proaktif di hadapan gawang lawan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas pengendali Selangor FC itu mahu semua pemain skuad berkenaan terus berusaha

memantapkan lagi persembahan masing-masing kerana cabaran lebih sukar sedia menanti pada perlawanan akan datang.

Beliau yang kali pertama membimbing skuad berkenaan akui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan dalam memastikan PDRM dapat terus memacu kecemerlangan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya pun baharu dekat sini (PDRM) dan ramai pemain baharu, kita tidak boleh cepat mendabik dada kerana cabaran lebih besar telah sedia menanti.

"Liga juga baharu bermula dan kita perlu bersedia dari segala aspek jika mahu bergelar pencabar terkuat serta ingin melangkah jauh dalam saingan musim ini," kata Maniam yang juga pernah membimbing Petaling Jaya (PJ) City FC, sebelum ini.

Mengenai pertembungan dengan Penang FC, di tempat sendiri Sabtu ini, Maniam menjelaskan bahawa beliau mungkin akan membuat sedikit perubahan dari segi kesebelasan utama susulan terdapat beberapa pemain utama yang kurang cergas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 3:46 PM