WHITE memasang impian untuk berkelana ke Eropah. FOTO Agensi
WHITE memasang impian untuk berkelana ke Eropah. FOTO Agensi
Reuters

Colorado: Pelumba berbasikal remaja Amerika Syarikat (AS) Magnus White meninggal dunia pada usia 17 tahun selepas dilanggar sebuah kereta ketika berlatih di rumahnya di Boulder, Colorado.

White sedang melakukan persiapan terakhir sebelum berlepas ke Glasgow di Scotland bagi menyertai Kejohanan Dunia Basikal Bukit bagi kategori remaja 10 Ogos depan.

"Dia adalah bintang yang semakin meningkat dalam kancah berbasikal lasak dan keghairahannya untuk berbasikal terbukti melalui perlumbaan dan kemesraan dengan rakan sepasukan serta komuniti setempat," kata Berbasikal AS dalam satu kenyataan.

White memenangi Kejohanan Kebangsaan Cyclocross Remaja 17-18 2021, yang dianggap sebagai 'saat penting' kerana bakal memberinya peluang untuk berlumba di Eropah.

Dia beraksi dengan pasukan kebangsaan AS untuk musim penuh perlumbaan Cyclocross Eropah dan menutup tahun itu di Kejohanan Dunia Cyclocross UCI 2022 di Arkansas.

Dia mewakili AS pada satu lagi Kejohanan Dunia Cyclocross pada Januari tahun ini di Hoogerheide, dan pada musim panas ini dia mendapat tempat dalam pasukan Kejohanan Dunia Basikal Bukit.

White mula berlumba di peringkat kebangsaan ketika berusia 10 tahun dan memuji bapanya kerana memperkenalkannya kepada sukan itu.

"Apabila saya membesar, bapa saya benar-benar mengajak saya berbasikal kerana dia berlumba di jalan raya, kemudian saya menyertai pasukan tempatan (Boulder Junior Cycling), yang mempunyai beberapa jurulatih hebat yang membawa saya di mana saya berada sekarang," kata White dalam buku profil di laman web Berbasikal AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 9:36 AM