KETUA kontinjen negara ke Sukan Asia Huangzhou, Datuk Chong Kim Fatt.
KETUA kontinjen negara ke Sukan Asia Huangzhou, Datuk Chong Kim Fatt.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang mengadakan perbincangan bersama syarikat penerbangan dari China untuk memberikan insentif tempat duduk kelas pertama kepada pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou apabila pulang dari temasya sukan itu.

Ketua kontinjen negara, Datuk Chong Kim Fatt berkata, syarikat penerbangan itu pilihan terbaik untuk menerbangkan 401 kontinjen negara ke temasya sukan itu yang berlangsung daripada 23 September sehingga 9 Oktober depan.

"Kita berjaya menjalinkan kerjasama dengan China Eastern Airlines yang mempunyai penerbangan terus ke Hangzhou. Mereka menawarkan tawaran eksklusif iaitu jika atlet negara dapat meraih pingat emas, tempat duduk mereka akan terus dinaik taraf kepada kelas pertama dengan tanpa kos tambahan.

"Ini inisiatif yang dapat menggalakkan atlet kita daripada sebuah syarikat swasta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan ke temasya sukan itu, hari ini.

Ia insentif tambahan sedang diusahakan untuk kontinjen negara selain insentif sedia ada iaitu Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) di mana pemenang emas akan memperolehi ganjaran RM80,000.

Daripada 401 kontinjen negara yang terbang ke Hangzhou, 293 membabitkan atlet negara dan 108 pegawai. Daripada 293 atlet itu, 117 adalah Kategori A dan 176 pula Kategori B.

Sementara itu, Kim Fatt berkata, bengkel penetapan sasaran pingat berlangsung pada 22 Ogos ini di Majlis Sukan Negara (MSN) dan sasaran pingat akan diumumkan kemudian.

Pencapaian terbaik kontinjen negara di Sukan Asia adalah pada edisi 2010 di Guangzhou iaitu sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa manakala pada edisi terakhir di Jakarta 2018, Malaysia meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 8:06 PM