ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia & Para Asia Hangzhou di MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia & Para Asia Hangzhou di MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sukan Asia Hangzhou akan menjadi penanda aras sama ada keputusan tidak meletakkan sasaran spesifik pingat emas untuk kontinjen negara adalah tepat atau sebaliknya.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berkata, sama ada amalan sama diaplikasikan pada temasya sukan lain selepas ini akan diteliti semula selepas melihat pencapaian di Hangzhou.

"Kita buat pertama kali mencuba amalan (sasaran) keseluruhan ini. Kita akan tengok keputusan di Sukan Asia dan akan buat post portem serta perbincangan.

"(Sukan) Olimpik memang berbeza sedikit sebab ada Jawatankuasa RTG (Road to Gold), jadi kita perlu melihat kepada keputusan di Sukan Asia dan kemudian putuskan untuk teruskan atau tak sistem baru ini," katanya.

Buat kali pertama tiada sasaran spesifik pingat emas, sebaliknya hanya keseluruhan 27 pingat disasarkan untuk kontinjen negara seperti diumumkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) ke Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, semalam.

Sementara itu Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, keputusan tidak meletakkan sasaran spesifik pingat emas bukanlah satu langkah ke belakang.

Jelasnya, amalan itu sudah pun terbukti berkesan dapat memberikan pencapaian lebih cemerlang kepada seseorang atlet seperti dilakukan beberapa negara kuasa besar dalam sukan, antaranya Australia dan Jepun.

"Kalau anda tengok Australia, adakah mereka mengambil langkah ke belakang? Jepun satu lagi antara negara terbaik di Asia dan mempunyai ranking di (Sukan) Olimpik. Adakah mereka mengambil langkah ke belakang?

"Penganalisis (sukan) kita perlu melihat kepada trend di luar di mana negara luar mula menggunakan kaedah atau amalan ini untuk mengurangkan tekanan kepada atlet mereka supaya boleh beraksi di tahap terbaik dekat Olimpik dan Sukan Asia. Jadi kita perlu mengikut jejak langkah mereka," katanya.

Kontinjen Malaysia dianggotai 289 atlet dan 145 pegawai dengan jumlah besar 434 (309 lelaki dan 125 wanita) yang akan menyertai 22 daripada 40 sukan dipertandingkan.

Pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, kontinjen negara meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 4:03 PM