KIM Fatt (enam dari kiri) bersama skuad terjun ketika hadir meninjau persiapan skuad terjun dan renang negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini. FOTO BERNAMA
KIM Fatt (enam dari kiri) bersama skuad terjun ketika hadir meninjau persiapan skuad terjun dan renang negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedudukan barisan atlet negara terus dimartabatkan apabila bakal menggalas tanggungjawab baharu sebagai 'Duta Malaysia' pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt berkata, selain daripada berjuang mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat, barisan atlet berperanan untuk menyebarkan imej baik Malaysia pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Semangat Olimpik di bawah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang merangkumi keseluruhan elemen dan bukannya sekadar hanya bertanding.

"Menteri (Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh) memberi sokongan dan bersetuju bahawa kontinjen kali ini bukan hanya pergi untuk bertanding, tetapi untuk satu daripada elemen yang penting iaitu diplomasi sukan. Semua atlet akan dilantik sebagai duta sukan.

"Apabila bawa bendera Malaysia bersama itu adalah satu tanggungjawab untuk tunjukkan imej rakyat Malaysia yang bagus.

"Ini boleh tarik minat mereka untuk datang bercuti di sini, mungkin antaranya boleh melabur, jadi secara tak langsung boleh bangunkan negara," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan skuad terjun dan renang negara di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung perkara itu.

Sementara itu, Kim Fatt berkata, bengkel penetapan sasaran akan dijalankan pada 22 Ogos ini.

"Saya seru atlet untuk memburu pingat emas dalam apa jua acara disertai, (soal) sasaran itu cerita lain, yang penting mereka mesti berjuang untuk nama Malaysia dan rakyat di sini," katanya.

Pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, kontinjen negara meraih keseluruhan tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tangga ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 8:28 PM