AKSI Bertrand pada saingan separuh akhir semalam. FOTO AFP
AKSI Bertrand pada saingan separuh akhir semalam. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin yakin lebih ramai atlet lagi mampu untuk layak ke temasya berkenaan selepas penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises melakukannya semalam.

Bertrand memberi khabar gembira buat kem negara yang kini sedang bersaing di Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka selepas beberapa siri mengecewakan dari kem terjun negara yang hingga kini gagal menjelmakan sebarang pingat.

Justeru Hamidin berkata, segala apa yang diperlukan oleh Bertrand akan dipenuhi sebagai menyokong persiapan yang diperlukan olehnya untuk ke Paris 2024.

"Tahniah buat penerjun muda Bertrand yang muncul atlet pertama Malaysia menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas dia berjaya melangkah ke pentas final 10 meter platform lelaki.

"Saya yakin lebih ramai atlet akan layak ke Olimpik 2024 selepas kejayaan Bertrand.

"Dalam pada itu saya juga mendoakan Bertrand mampu menjadi penerjun pertama yang menghadirkan kilauan pingat di Fukuoka yang mana skuad negara setakat ini masih belum lagi meraih kedudukan podium sejak kejohanan itu bermula 14 Julai lalu.

"Tahniah diucapkan sekali lagi dan saya sentiasa menyokong segala persiapan yang dia perlukan untuk ke Paris 2024," katanya.

Pada saingan di Fukuoka Prefectural Pool, Jepun itu menyaksikan Rhodict menamatkan saingan separuh akhir dengan merekodkan 420.70 mata untuk berada pada kedudukan ke-10 daripada 18 peserta, menurut laman sesawang kejohanan worldaquatics.com.

Kejayaan itu menyaksikan penerjun berusia 18 tahun itu unggul menempatkan diri dalam syarat kelayakan iaitu kelompok 12 terbaik di peringkat separuh akhir yang akan beraksi di final sekali gus layak ke Paris.

Bagi yang belum melayakkan diri ke temasya Olimpik persaingan masih terbuka dengan satu lagi Kejohanan Dunia pada 2 hingga 18 Februari, di Doha, Qatar, menawarkan 12 lagi slot buat penerjun mengikut had negara iaitu dua atlet tanpa melepasi jumlah kuota yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 2:00 PM