BERTRAND muncul penerjun tunggal negara layak ke temasya Olimpik Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
BERTRAND muncul penerjun tunggal negara layak ke temasya Olimpik Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kurang 100 hari menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises kini giat 'berguru' di pelbagai negara bagi memperkemaskan darjah kesukaran terjunannya.

Atlet muda negara itu sedang menjalani latihan di Singapura bermula 15 April hingga 30 Mei ini dan kemudiannya akan ke Australia untuk menyertai satu kejohanan terjun di Brisbane, sebelum ke sebuah lagi negara sebagai persiapan ke Paris 2024.

Penerjun tunggal negara itu tidak menafikan rasa 'sunyi' apabila tidak ditemani mana-mana atlet senior seperti Datuk Pandelela Rinong ketika menjalani latihan ke temasya terbesar dunia itu.

"Setakat ini di Singapura, Australia dan satu lagi negara, namun tidak dimaklumkan (Persekutuan Renang Malaysia (MAS). Saya tidak akan balik ke Malaysia, dari negara itu terus ke Paris.

"Perasaan gementar untuk ke Paris 2024 mesti ada, tapi pada sama teruja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Bertrand terpaksa mengorbankan penyertaan dua siri Piala Dunia bagi memberi tumpuan kepada peningkatan darjah kesukaran melibatkan back 3 ½ kepada pike.

Mengenai pemakanan, Bertrand yang ditemani jurulatih, Nor Aznizal Najib ke Singapura berkata, beliau lebih berhati-hati dengan kandungan makanan selain mengambil suplemen bagi meningkatkan tahap kecergasan.

Selain itu, atlet kelahiran Sarawak itu memaklumkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan tangan selepas mendapat suntikan Platelet-Rich Plasma (PRP), baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, keputusan menghantar Bertrand ke pelbagai negara itu tepat walaupun terdapat kelainan kerana China tidak termasuk dalam senarai destinasi pembelajaran.

"Kita memang ada beberapa pilihan dan pergi ke pilihan berbaloi dan bermanfaat.

"Memang China ada kemudahan lengkap, namun negara lain tidak kurang hebatnya," katanya.

Bertrand adalah satu-satunya penerjun layak ke Paris 2024 menerusi acara 10 meter (m) platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lalu.

Lapan atlet lain ke Paris 2024 ialah tiga pelumba berbasikal trek diketuai Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, diikuti Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariani Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Paris 2024 dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 8:35 PM