HANNAH menyerahkan replika cek kepada Nur Azmi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
HANNAH menyerahkan replika cek kepada Nur Azmi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises yang muncul penerjun pertama negara menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Kejayaan atlet itu dicapai selepas dia melangkah ke pentas final acara 10 meter (m) platform lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023, esok.

Pada saingan di Fukuoka Prefectural Pool, Jepun itu, Bentrand Rhodict menamatkan saingan separuh akhir dengan merekodkan 420.70 mata untuk berada pada kedudukan ke-10 daripada 18 peserta.

Penerjun berusia 18 tahun itu menempatkan diri dalam syarat kelayakan dalam kelompok 12 terbaik di peringkat separuh akhir, sekali gus bakal beraksi di final dan layak ke Paris 2024.

Hannah berkata, sebelum ini pelumba basikal negara termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut layak.

"Atlet dalam sukan lain termasuk badminton sedang bersaing merebut mata kelayakan dan masing-masing berpeluang untuk mara," katanya.

Sementara itu, Hannah menyerahkan RM1juta kepada Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) bagi Geran Padanan Sukan (GPS) dan berharap persatuan itu akan menganjurkan lebih banyak kejohanan bertaraf dunia di Malaysia.

"Sebelum ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan GPS RM40 juta yang diperkenalkan kerajaan pada tahun ini bagi membantu atlet memperbaiki ranking mereka menerusi kejohanan peringkat antarabangsa dianjurkan persatuan masing-masing.

"Ia menjadi kayu ukur kepada atlet untuk membandingkan prestasi mereka dengan atlet negara lain dan selepas sesi townhall, atlet memberikan maklum balas yang mereka memerlukan lebih banyak kejohanan untuk memperbaiki ranking.

"Itu sebab kita wujudkan geran ini bagi membantu persatuan sukan menganjurkan kejohanan seterusnya," katanya selepas menyerahkan replika cek kepada Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Beliau berkata demikian kepada media pada Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.

Kejohanan berkenaan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 8:05 PM