BERTRAND mampu menjadi penerjun pertama yang menghadirkan kilauan pingat di Fukuoka. FOTO Reuters
BERTRAND mampu menjadi penerjun pertama yang menghadirkan kilauan pingat di Fukuoka. FOTO Reuters
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul atlet pertama Malaysia yang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berjaya melangkah ke pentas final 10 meter (m) platform lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023, esok.

Pada saingan di Fukuoka Prefectural Pool, Jepun itu menyaksikan Rhodict menamatkan saingan separuh akhir dengan merekodkan 420.70 mata untuk berada pada kedudukan ke-10 daripada 18 peserta, menurut laman sesawang kejohanan worldaquatics.com.

Kejayaan itu menyaksikan penerjun berusia 18 tahun itu unggul menempatkan diri dalam syarat kelayakan iaitu kelompok 12 terbaik di peringkat separuh akhir yang akan beraksi di final sekali gus layak ke Paris.

Lian Junjie dari China mengungguli pusingan itu dengan mencatatkan 505.50 mata, disusuli Cassiel Rousseau dari Australia (494.10 mata) manakala Yang Hao dari China di tempat ketiga (484.90 mata).

Bertrand mampu menjadi penerjun pertama yang menghadirkan kilauan pingat di Fukuoka sekiranya di menonjolkan aksi cemerlang pada pentas final esok, selepas skuad negara belum lagi meraih kedudukan podium setakat ini sejak kejohanan itu bermula 14 Julai lalu.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa penerjun negara, Enrique Maccartney Harold apabila perjalanannya terhenti pada pusingan kelayakan menerusi acara sama selepas hanya mencatatkan 308.20 mata untuk berada pada kedudukan ke-39 daripada 40 peserta.

Kejohanan berlangsung hingga 30 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 7:07 PM