HAMIDIN (kiri) berkata jumlah itu dijangka bertambah apabila tarikh akhir kelayakan berbasikal dan badminton tamat. FOTO AIMAN DANIAL
HAMIDIN (kiri) berkata jumlah itu dijangka bertambah apabila tarikh akhir kelayakan berbasikal dan badminton tamat. FOTO AIMAN DANIAL
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kecil atau besar saiz kontinjen negara ke temasya Olimpik Paris itu bukan keutamaan.

Ini kerana fokus utama negara ketika ini adalah untuk menghadiahkan emas.

Itu tegas Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menegaskan saiz kontinjen ke temasya Olimpik bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Setakat ini, hanya lima atlet yang sudah pun melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises; Nur Shazrin Latif (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).

Hamidin ketika ditemui media selepas melawat latihan dua atlet negara ke Paris 2024, Johnathan dan Bertrand di Bukit Jalil, hari ini berkata jumlah itu dijangka akan bertambah apabila tarikh akhir kelayakan bagi acara berbasikal dan badminton akan tamat pada April manakala bagi sukan olahraga pada Jun ini.

Manakala bagi beberapa sukan lain seperti angkat berat dan menembak masih turut terbuka. "Kita bukan risau sebab saiz kontinjen sebabnya mereka memang tak layak. Itu kita kena terima.

"Tapi saya sudah berhubung dengan Datuk Azizulhasni Awang kedudukannya sudah stabil tapi masih belum disahkan manakala bagi badminton pula masih lagi dalam proses kelayakan.

"Kita kena pastikan siapa yang layak mereka berusaha semaksima mungkin untuk dapatkan pingat bukan hanya emas," katanya.

Terdahulu beberapa nama atlet terkemuka negara sebelum ini gagal melayakkan diri ke Paris dan mereka adalah tiga penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng.

Pasukan hoki lelaki negara turut gagal melayakkan diri ke Paris 2024 selepas kecundang di kejohanan kelayakan di Muscat, Oman Januari lalu.

Di Tokyo 2020, kontinjen diwakili 30 atlet dengan Malaysia membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Perak diraih Azizulhasni dalam acara keirin lelaki manakala beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:02 PM