BERTRAND Rhodict Lises. FOTO REUTERS
BERTRAND Rhodict Lises. FOTO REUTERS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Satu-satunya penerjun negara yang layak ke temasya Olimpik Paris, Bertrand Rhodict Lises bersedia berkampung di luar negara berseorangan dalam usahanya memberikan keputusan yang terbaik buat negara di temasya terbesar itu Julai ini.

Rhodict berkata, dia sedar bahawa sudah tidak mempunyai banyak masa dan latihan di luar negara amat di perlukan untuk meningkatkan darjah kesukaran dalam terjunan bagi membolehkan dia bersaing dengan penerjun yang jauh berpengalaman ketika dia baru berusia 18 tahun.

Ketika ini lokasi yang menjadi pilihan adalah London, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico.

"Berlatih berseorangan di luar negara adalah sesuatu yang baru. Tapi saya kena hadapinya kerana saya pergi berseorangan dan saya kena tempuh.

"Jika boleh saya mahu ke London kerana ia mudah untuk saya ke Paris dan perbezaan waktu juga tidak banyak beza.

"Saya juga boleh berlatih bersama pasukan Britain di sana.

"Apa yang boleh saya katakan ketika ini saya cuma buat terbaik untuk perbaiki ranking kerana masih muda dan banyak lagi Olimpik menanti saya dan harap dapat layak ke lebih banyak Olimpik lagi," katanya.

Rhodict kini menjadi satu-satunya penerjun negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara 10m platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.

Sejak edisi 2000, Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga wakil dalam sukan terjun manakala edisi London 2012 dan Rio 2016 masing-masing enam dan tujuh penerjun.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:27 PM