HINDLEY meraikan kejayaannya menyarung jersi kuning. FOTO AFP
HINDLEY meraikan kejayaannya menyarung jersi kuning. FOTO AFP
AFP

Laruns: Jai Hindley melintasi garisan penamat secara solo untuk memenangi peringkat kelima Tour de France (TdF) sekali gus menyarung jersi kuning bagi pendahulu keseluruhan ketika juara bertahan, Jonas Vingegaard memenangi pertarungan taktikal dengan pesaing utama, Tadej Pogacar.

Pencapaian Hindley bagaimanapun dibayangi oleh prestasi cemerlang Vingegaard di laluan berbukit untuk meraih kelebihan 53 saat berbanding Pogacar dalam kedudukan keseluruhan.

Persaingan membabitkan kedua-dua pelumba itu sememangnya dijangkakan pada edisi kali ini namun ketika ini pelumba Bora-Hansgrohe, Hindley, yang juga pemenang Giro d'Italia 2022, turut mencuri tumpuan.

Pemenang peringkat perlumbaan dari Australia itu berkata, dia sememangnya sudah melakukan persediaan rapi untuk perlumbaan peringkat kelima.

"Saya hadir ke sini untuk muncul juara keseluruhan dan matlamatnya adalah terus menjarakkan diri berbanding pesaing lain.

"Ini adalah impian sejak saya berumur enam tahun tetapi saya tidak pernah terfikir akan dapat menyarung jersi kuning.

"Sudah pasti saya gembira kerana meraih kemenangan dan muncul pendahulu keseluruhan. Ia pasti cabaran lebih sukar selepas ini," kata Hindley.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:46 PM