POGACAR takluk peringkat keempat perlumbaan Paris-Nice. FOTO AFP
POGACAR takluk peringkat keempat perlumbaan Paris-Nice. FOTO AFP
AFP

La Chabanne: Juara dua kali Tour de France, Tadej Pogacar melonjak ke kedudukan teratas keseluruhan perlumbaan Paris-Nice selepas memberikan kayuhan mantap di peringkat keempat.

Jaguh berbasikal Slovenia itu mengatasi David Gaudu dengan kelebihan satu saat (s), manakala Gino Maeder di kedudukan ketiga 34s di belakang dalam saingan cuaca mendung di bahagian tengah Perancis.

Pogacar, 24, memintas Magnus Cort untuk kedudukan keseluruhan sekali gus menyarung jersi kuning saingan 'Race to the Sun' yang akan berakhir di Cote d'Azur di Nice.

"Ia bukan dalam rancangan saya untuk menyarung jersi kuning hari ini namun anda tidak boleh menolak jika berpeluang menyarung jersi berkenaan.

"Ia sangat mengagumkan untuk melihat warna ini sekali lagi," kata pelumba UAE Emirates Team itu.

"Dia lebih kuat berbanding saya dalam aksi pecutan. Saya di kedudukan kedua tapi kedua di belakang Pogacar," kata Gaudu.

Juara Tour de France tahun lalu, Jonas Vingegaard ditinggalkan Pogacar pada pendakian terakhir ke resort ski La Loge des Gardes dengan ketinggian 1,077 meter dan pelumba Denmark itu ketinggalan 44s untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 11:22 AM