VINGEGAARD mengangkat basikalnya selepas muncul juara Tour de France buat kali kedua berturut-turut. FOTO REUTERS
VINGEGAARD mengangkat basikalnya selepas muncul juara Tour de France buat kali kedua berturut-turut. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Jonas Vingegaard memenangi gelaran Tour de France (TdF) kedua berturut-turut, semalam, selepas Jordi Meeus memenangi peringkat pendakian terakhir di Champs-Elysees di Paris.

Pelumba Denmark, Vingegaard yang mewakili pasukan Jumbo-Visma melintasi garisan penamat perlumbaan jelajah 21 hari itu dengan 7 minit dan 29 saat di depan pelumba Slovenia, Tadej Pogacar, yang juga juara pada edisi 2020 dan 2021.

Rakan sepasukan Pogacar di UAE, Adam Yates dari Britain melengkapkan kedudukan tiga pelumba terbaik.

Kemenangan Vingegaard itu adalah jurang terbesar dicatatkan sejak 2014 apabila pelumba Itali, Vincenzo Nibali merangkul jersi kuning dengan kelebihan 7 minit dan 39 saat.

"Saya menikmati persaingan untuk memenangi gelaran ini bersama 'Pogi' dan Yates, tetapi kini saya tidak sabar untuk menikmati makan malam hebat bersama keluarga di Paris," kata Vingegaard.

"Ia adalah perlumbaan panjang yang sukar dan bersambung dari sehari ke sehari, tetapi jelas ada perasaan bangga dan gembira.

"Menang buat kali kedua memang menakjubkan untuk semua orang Denmark di sini. Saya harap dapat datang semula ke sini untuk menang pada kali ketiga, sekurang-kurangnya mampu mencuba."

Sekalipun menduduki tempat kedua, Pogacar turut gembira untuk fokus kepada perkara positif.

"Berdasarkan segala yang berlaku, ia adalah jelajah yang hebat dan saya gembira dengan keputusan ini," kata Pogacar selepas menyarung jersi pelumba muda terbaik buat kali keempat.

"Kami ada dua wakil di podium, saya menang dua peringkat dan jersi putih. Saya cintakan lumba basikal."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 9:39 AM