Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO ASWADI ALIAS
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas menyaksikan kejayaan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fami di pentas dunia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh.

Ia adalah sekolah yang mencungkil bakat pelari terkemuka negara itu sehingga kini berjaya memegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) negara pada usia 18 tahun dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan berkata, kejayaan Azeem adalah sesuatu yang mengujakan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya selaku wira atlet muda.

"Saya berpandangan bakat serta kebolehan Azeem perlu terus digilap agar lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa akan datang.

"Justeru sukacita saya ingin memaklumkan KBS sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf balapan di SMK Gunung Rapat bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.

"Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak supaya nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa," katanya.

Untuk makluman, SMK Gunung Rapat adalah sekolah kluster sukan yang sudah melahirkan ramai atlet berbakat termasuk Azeem.

Terdahulu Azeem, 18, berjaya mencipta sejarah sukan negara apabila mara ke pentas akhir acara riben biru itu dan menamatkan saingan di kedudukan kelima, hari ini.

Azeem merekodkan catatan 10.14s di peringkat akhir dalam acara yang dimenangi pelari Botswana, Letsile Tebogo dengan catatan 9.91s.

Ahmad Faizal turut mengucapkan tahniah dan syabas buat Azeem di atas kejayaan dilakarkan atlet itu di bumi Colombia.

"Apa yang lebih membanggakan, kejohanan kali ini secara tidak langsung menyaksikan Muhammad Azeem memecahkan rekod kebangsaan pada sesi saringan lapan dengan catatan masa 10.09s.

"Saya berpandangan bakat serta kebolehan Azeem perlu terus digilap supaya lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa akan datang.

"KBS akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara," kata Ahmad Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 6:59 PM