Muhammad Naqib Rashidi maut dalam kemalangan di Jalan Padang Matsirat di sini, 11.30 malam tadi. FOTO Ihsan Polis
Muhammad Naqib Rashidi maut dalam kemalangan di Jalan Padang Matsirat di sini, 11.30 malam tadi. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang remaja lelaki sempat memuat naik status mahu bekerja keras dan mengumpul wang bagi membawa ayah dan ibunya tunai umrah di akaun media sosial miliknya beberapa minit sebelum maut dalam kemalangan.

Mangsa, Muhammad Naqib Rashidi, 18, dari Kampung Chandek Kura di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Matsirat di sini, 11.30 malam tadi.

Status dimuat naik mangsa berbunyi: "Mengharapkan duit mak bapak? Aku sanggup tak sambung belajar sebab tak nak susahkan mereka. Belajar susah sendiri, minta maaf mama abah, Akib tak dapat gembirakan mama abah macam anak-anak orang lain yang dapat sambung belajar.

"Akib tak nak susahkan mama abah, Akib akan usahakan Akib kerja keras tanpa susahkan mama abah, Akib faham penat mama abah, Akib dah ada semua nanti Akib tak akan lupakan semua orang yang buat Akib sakit yang buat Akib happy.

"Impian Akib, Akib teringin nak bawa mama abah pergi umrah guna duit Akib sendiri, Akib harap Akib berjaya mama abah pun ada dengan Akib sekali."

Menurut bapanya, Rashidi Shukri, 50, yang juga seorang pendakwah bebas berkata, arwah Muhammad Naqib dipercayai memuat naik status itu sebelum keluar rumah kira-kira jam 10 malam tadi.

"Rakan saya ada membuat tangkap layar status terakhir yang dikatakan dimuat naik arwah Akib di media sosial beberapa minit sebelum kejadian dan mengirimkannya menerusi aplikasi WhatsApp kepada saya pagi ini.

"Malam tadi, saya tiba di rumah selepas menyampaikan kuliah jam 9.30 malam dan Akib ada memberitahu ibunya, Norkhoziyah Diah untuk keluar buang sampah di luar rumah. Itulah kali terakhir saya lihat kelibatnya di rumah.

"Kemudian, kira-kira jam 11.30 malam, saya terima maklumat arwah kemalangan dan tidak sedarkan diri, sebelum saya bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, hari ini.

Rashidi berkata, arwah anaknya kini bekerja secara separuh masa di sebuah hotel di Pantai Tengah di sini, selepas tamat belajar di tingkatan lima dan menerima keputusan peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia akhir Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan membabitkan remaja lelaki itu bersama tiga penunggang motosikal lain.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Kampung Perana ke Kuah terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum mangsa tercampak di atas jalan raya.

"Pada masa sama tiga penunggang lain dari arah sama turut gagal mengawal kenderaan akibat jarak dekat lalu melanggar mangsa yang berada di tengah jalan menyebabkan cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa yang maut dihantar Unit Forensik HSM untuk bedah siasat, manakala tiga penunggang motosikal berusia antara 18 dan 19 tahun yang cedera ringan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 1:13 PM