ANSELMINO bakal menjadi tonggak terbaharu Chelsea. FOTO Reuters
ANSELMINO bakal menjadi tonggak terbaharu Chelsea. FOTO Reuters
Reuters

Buenos Aires: Chelsea mencapai persetujuan dengan gergasi Argentina, Boca Juniors untuk menandatangani pertahanan, Aaron Anselmino dalam perjanjian AS$18 juta (RM84 juta), kata sumber kelab yang berpangkalan di Buenos Aires.

Anselmino memulakan karier di Boca pada usia 12 tahun, membuat penampilan sulung pasukan utama pada 2023 dan selepas 10 penampilan menarik minat kelab Eropah, termasuk Manchester United dan AC Milan.

Kelab Argentina itu bersetuju dengan Chelsea untuk mengekalkan pemain berusia 19 tahun itu untuk sekurang-kurangnya enam bulan lagi supaya peminat boleh 'menikmati' kehebatan pertahanan tengah itu sebelum dia menyertai Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Perjanjian sudah lengkap, kertas kerja sedang ditukar. Perpindahan akan dimuktamadkan sekarang, tetapi dia akan kekal di Boca," kata sumber kepada Reuters.

Presiden Boca dan bekas pemain antarabangsa Argentina, Juan Roman Riquelme berkata, beberapa hari lalu bahawa Anselmino 'akan menjadi pemain bola sepak yang hebat dan akan menjadi pemain pasukan kebangsaan'.

Boca yang mendedahkan pemain tengah, Tomas Belmonte sebagai pemain baharu mereka, tidak memberikan sebarang butiran rasmi mengenai perpindahan Anselmino.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 12:50 PM