J Arul Kumar (tiga dari kiri) ketika meninjau keadaan lif yang uzur pada sidang media kelulusan peruntukan penyelenggaraan termasuk penggantian lif madani melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) KPKT di Pangsapuri  Taman Seremban Putra, Sikamat. FOTO AZRUL EDHAM
J Arul Kumar (tiga dari kiri) ketika meninjau keadaan lif yang uzur pada sidang media kelulusan peruntukan penyelenggaraan termasuk penggantian lif madani melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) KPKT di Pangsapuri Taman Seremban Putra, Sikamat. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Lebih 12 tahun menanggung derita apabila terpaksa tinggal di pangsapuri dilengkapi lif rosak.

Kepayahan beribu penduduk di Pangsapuri Taman Seremban Putra, Sikamat, di sini, berakhir apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM4.6 juta bagi baik pulih projek perumahan berstrata dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Ini termasuk peruntukan sebanyak RM1.8 juta diluluskan bagi kerja menggantikan lima lif di kediaman itu.

Pengerusinya, Mohd Ridzuan Md Zain berkata, lif di 10 blok pangsapuri berkenaan tidak boleh digunakan sejak 12 tahun lalu.

"Terdapat 10 blok di pangsapuri ini dengan setiap blok mempunyai dua lif, namun hanya satu lif di setiap blok yang beroperasi sejak 12 tahun lalu. Jika satu lif rosak, penduduk terpaksa menggunakan tangga.

"Malah, satu lif ini juga digunakan untuk penumpang, pindah barang dan mengangkut sampah. Ia menyebabkan rasa tidak selesa kepada penduduk terutama golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J Arul Kumar melakukan tinjauan keadaan lif di pangsapuri berkenaan, tadi.

Arul Kumar berkata, sebanyak RM3.3 juta peruntukan diterima MBS di bawah Projek Penyelenggaraan / Penggantian Lif Madani 2.0.

"Pangsapuri Taman Seremban Putra menerima peruntukan bagi penggantian lima lif dengan kos keseluruhan RM1.8 juta membabitkan kerja penggantian yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada Mei 2025.

"Kelulusan peruntukan penggantian lif ini adalah selaras dengan aduan daripada penduduk berkenaan permasalahan lif yang sering berlaku di kawasan ini.

"Penggantian lif akan memberi keselesaan kepada 2,500 penghuni di kawasan ini," katanya.

Tambahnya, baki peruntukan adalah bagi kerja penyelenggaraan empat lif di Apartment Casa Prima, Seremban 2, di sini.

"Dalam kes ini, badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC) mengemukakan permohonan kepada MBS dan dipanjangkan kepada Jabatan Perumahan Negera di bawah KPKT.

"MBS menerima beberapa permohonan dan hantar kepada KPKT mengikut keutamaan. MBS akan menjadi pelaksana dan memastikan projek ini dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 1:23 PM