HAMIDIN (dua dari kanan) melihat basikal Shah Firdaus (kanan) sambil diperhatikan Amarjit Singh (tengah), Nicol (dua dari kiri) dan Azizulhasni ketika meninjau latihan skuad berbasikal di Velodrom Nasional di Nilai, hari ini.
HAMIDIN (dua dari kanan) melihat basikal Shah Firdaus (kanan) sambil diperhatikan Amarjit Singh (tengah), Nicol (dua dari kiri) dan Azizulhasni ketika meninjau latihan skuad berbasikal di Velodrom Nasional di Nilai, hari ini.
Syazwan Msar dan Zulkarnain Azman


Nilai: "Kalau Jawatankuasa RTG (Road To Gold) lambat nak mesyuarat, kita akan terus mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) secepat mungkin."

Itu jaminan Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi memenuhi semua permintaan yang dikemukakan atlet di bawah program RTG.

Jelasnya, segala keputusan perlu segera dicapai demi memastikan atlet dalam program RTG dapat melakukan persiapan terbaik dalam menghadirkan pingat emas pertama buat negara di Sukan Olimpik.

"Apa yang paling penting, kita mahu atlet sentiasa berada pada tahap tertinggi dan keperluan yang kita fikirkan patut diberi, akan berikan," katanya selepas meninjau sesi latihan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Pada sesi lawatan itu, Hamidin turut mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan berbasikal trek yang diketuai John Beasley dan dua pelumba sandaran negara, Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Hadir sama, Timbalan CDM, Datuk Nicol David selain Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.

Mengulas lanjut mengenai keperluan atlet di bawah program RTG, Hamidin memberitahu pihaknya sudah mengumpul semua data berhubung perkara itu seterusnya akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa RTG yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

"Sebenarnya, saya sudah dapatkan semua maklumat daripada pemain dan jurulatih serta sudah ada hitam putih.

"Ada sesetengah keperluan yang kita sudah selesaikan tanpa melalui mesyuarat (jawatankuasa RTG).

"Jadi, kita akan perincikan semuanya dan tidak lama lagi kita akan ada mesyuarat untuk membincangkan berkenaan perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:43 PM