ADAM yakin lebih ramai atlet mampu diserap ke program RTG.
ADAM yakin lebih ramai atlet mampu diserap ke program RTG.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau prestasi atlet yang berpontensi untuk diserapkan dalam program Road To Gold (RTG).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya menerusi sekretariat RTG akan memantau atlet yang berada ranking terbaik untuk diserapkan dalam program.

Beliau berkata, pihaknya yakin sekiranya lebih ramai atlet dalam program RTG sekaligus membuka peluang memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

"Sebagai contoh, skuad hoki lelaki kendalian Arul Selvaraj dilihat prospek meraih pingat emas dan berjaya diserap masuk dalam program RTG.

"Jadi, kita tidak menolak kemungkinan akan ada lagi atlet lain diserap masuk ke dalam program RTG selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bekas pemain Olimpik Munich tahun 1972, Harun Jusoh, 75, di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.Adam berkata, pihaknya juga sentiasa melihat keperluan atlet termasuk dari segi tempat latihan atlet di bawah program RTG sentiasa diutamakan.

"Kita akan bantu atlet RTG dari semasa ke semasa termasuk permintaan dari segi latihan membabitkan jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang," katanya.

Pada Jun lalu, skuad hoki lelaki negara menjadi atlet berpasukan pertama tersenarai dalam program RTG selepas memenuhi syarat menghuni kedudukan ranking 10 terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:59 PM