BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang pengarah syarikat yang disyaki mengemukakan dokumen tuntutan bayaran palsu sebanyak RM527,375.

Sumber SPRM berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada kira-kira 3 petang semalam di Kuala Terengganu.

"Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2016 dengan mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu iaitu resit dan penyata bank pembelian peralatan padi kepada sebuah agensi kerajaan untuk memperoleh geran bernilai RM527,375 sedangkan pembelian tidak pernah dibuat," katanya.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, beliau berkata suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 11:06 PM