KHAIRUL Hafiz mahu buktikan boleh memenangi emas. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KHAIRUL Hafiz mahu buktikan boleh memenangi emas. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh lari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mengakui kehadiran juara bertahan dari Thailand, Puripol Boonson di temasya Sukan Sea Kemboja dalam acara 100 meter (m) menaikkan semangatnya untuk merampas semula gelaran raja pecut Asia Tenggara yang diraihnya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Pelari berusia 25 tahun berkata, meskipun mengakui ia bukan satu tugas yang mudah tatkala selepas dua tahun tidak berlari dalam acara itu namun dia percaya mampu melakar kejutan sama seperti yang dilakukan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

"Insya-Allah, bagi saya tiada apa yang mustahil untuk kembali memenangi emas kerana saya pernah buktikan sebelum ini.

"Dalam acara 100m ini, macam-macam boleh berlaku…contohnya pada 2017, Eric Cray (Filipina) yang juga juara bertahan diletakkan sebagai pilihan tetapi saya buktikan boleh memenangi emas ketika itu.

"Kehadiran Puripol turut menaikkan lagi semangat saya untuk membuat catatan masa lebih bagus. Saya memandang jauh, jika tidak memenangi emas, mungkin dengan catatan lebih baik saya boleh melepasi kelayakan ke Sukan Asia," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan prestasinya semasanya, Khairul Hafiz memberitahu dia berpuas hati dengan perkembangan prestasinya apabila berjaya melakukan catatan musim terbaik 10.51s ketika di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Januari lalu.

"Setakat ini, prestasi saya agak memuaskan dan catatan yang saya lakukan itu memang untuk melepasi kelayakan Sukan SEA.

"Mengikut kondisi saya yang sudah lama tidak berlari dalam acara ini selepas alami kecederaan hamstring, saya kembali dengan 10.51s itu tidak mudah...untuk pelari yang sudah lama dan sentiasa menjalani latihan juga tidak mudah mendapatkan masa itu," katanya.

Selain Khairul Hafiz, skuad olahraga negara turut mempertaruhkan Haiqal untuk menggalas cabaran dalam acara 100m di Kemboja.

Sebagai persiapan ke Sukan SEA tahun ini, Khairul Hafiz bersama empat lagi atlet pecut negara iaitu Haiqal, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa dan diiringi jurulatih Mohd Poad Md Kassim akan menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Australia bermula 16 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 3:11 PM