KHAIRUL sandaran terbaik negara dalam acara 100m di Sukan Sea Kemboja.
KHAIRUL sandaran terbaik negara dalam acara 100m di Sukan Sea Kemboja.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala 2017, Khairul Hafiz Jantan tidak tertekan dalam misi mengulangi pencapaian pingat emas 100 meter (m) pada temasya y sama di Kemboja yang akan membuka tirai bermula 5 Mei ini.

Ketiadaan pemegang rekod 100m kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang kini berada di Amerika Syarikat, menjadikan Khairul, 25, sebagai sandaran terbaik negara dalam acara tumpuan riben biru berkenaan.

Menurutnya, dia tiada apa-apa tekanan kerana tahu ramai (pelari) negara lain lebih laju daripadanya buat masa ini.

"Namun, saya tetap akan cuba yang terbaik buat negara. Saya sudah diberi tanggungjawab untuk galas acara 100m kali ini," katanya selepas pulang dari Australia semalam.

Peluang dilihat sukar berdasarkan prestasi pencabar lain pada tahun lalu terutama juara bertahan dari Thailand, Puripol Boonson yang mencatat masa masa 10.09 saat (s).

Bintang pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri juga kembali menemui rentak terbaiknya dengan masa 10.10 saat (s) dan masih memegang status pelari terpantas rantau Asia Tenggara menerusi catatan 10.03s pada 2019.

Namun, segalanya tidak mustahil jika melihat kepada magis pernah dilakukan Khairul ketika meraih emas pada 2017 tatkala namanya masih belum dikenali di peringkat Asia Tenggara ketika itu.

Begitu juga dengan kejayaan seorang lagi pelari 100m di Kemboja nanti iaitu Muhammad Haiqal Hanafi yang mencipta kejutan sensasi mempertahankan emas Khairul pada Sukan Sea Manila 2019.

Justeru, Khairul dan barisan pecut negara terutama kuartet 4x100m negara mahu menjadikan pentas persediaan terakhir iaitu Terbuka Singapura hujung bulan ini sebagai platform memperbaiki segala teknik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 4:09 PM