TENGKU Zaihan (tengah) menyampaikan bola sepak takraw kepada Dr Narita. FOTO MALIK MUHAMAD
TENGKU Zaihan (tengah) menyampaikan bola sepak takraw kepada Dr Narita. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Misi Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) melahirkan lebih ramai pemain berwibawa dalam sukan itu tidak terhenti, sebaliknya terus diperkasakan lagi.

Terbaharu badan induk sepak takraw negeri itu menjalin kerjasama dengan Institusi Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Nerus bagi memastikan pemain berbakat dapat dicungkil seramai mungkin.

Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kolaboratif bersama IPGKDRI bukan hanya untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti, malah jurulatih berkaliber dalam kalangan bakal guru.

Beliau berkata, kebetulan bekas perejam regu emas negara pada Sukan Sea 2005 di Filipina, Futra Abdul Ghani kini menjadi tenaga pengajar di IPGKDRI, sekali gus mampu menambah nilai hasrat persatuan.

"Kami mahu memperhebatkan lagi sukan tradisi ini bermula di peringkat akar umbi iaitu di sekolah rendah sehinggalah ke peringkat lebih tinggi.

"Ini bukan sahaja misi PSNT, malah hasrat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang sudah berusia 62 tahun.

"Memandangkan IPGKDRI melatih bakal guru sekolah rendah, kami memperkasakan lagi perancangan dalam misi menjadi kuasa dunia dalam sukan tradisi ini dengan menjalin kerjasama itu, tambahan Futra berada di IPG itu," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Kunjung Hormat PSNT di IPGKDRI yang dihadiri Pengarah IPGKDRI, Dr Narita Mohd Noor; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Roslan Mamat@Yusof dan Futra.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 7:28 PM