AHMAD Ismail meletak jawatan selaku Presiden PSM. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD Ismail meletak jawatan selaku Presiden PSM. FOTO Owee Ah Chun
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kesangsian dengan keikhlasan bekas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail atau lebih dikenali Tok Mat membuatkan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) kekal dengan pendiriannya untuk 'bercerai' dengan PSM.

Malah PSNT sesekali tidak akan membuat pusingan 'U' atas pujukan rayu Tok Mat, sebaliknya lebih percaya dan yakin dengan keikhlasan 11 ahli gabungan baharu yang menarik diri daripada badan induk sukan itu daripada terus bersekongkol dengan 'rejim' Tok Mat.

Presidennya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menjelaskan tempoh 18 tahun Tok Mat memegang jawatan sebagai presiden PSM bukan jangka masa yang pendek untuk membangunkan sukan tradisi itu, namun apa yang berlaku adalah sungguh mendukacitakan.

"PSNT senada dengan Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) untuk tidak akan sesekali kembali bersama PSM walaupun Tok Mat merayu secara terbuka kepada 11 ahli gabungan yang keluar untuk kembali ke pangkuan badan induk itu.

"Persoalan kami kenapa baharu sekarang nak pujuk dan ajak kami berbincang selepas kami menarik diri daripada PSM? Kenapa tidak sebelum itu? Ini yang menimbulkan kesangsian kami selepas beliau (Tok Mat) meletak jawatan sebagai presiden PSM malam kelmarin, malah kenyataannya juga mengelirukan.

"Malah lebih menimbulkan kesangsian kami kenapa beliau (Tok Mat) hanya meletak jawatan sebagai Presiden PSM sedangkan tidak berundur sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang? Jadi saya lihat walaupun beliau meletak jawatan di peringkat pusat tapi beliau masih sebahagian daripada PSM kerana tidak 100 peratus meletak jawatan.

"Oleh sebab itu kita masih tertanya-tanya mengenai keikhlasan beliau sama ada betul-betul mahu beri kepada orang baharu menerajui PSM ataupun ada agenda tersembunyi disebaliknya.

"Jika beliau betul-betul ikhlas letaklah semua jawatan di peringkat negeri selepas peringkat pusat, bagi orang baharu menerajui badan induk itu, ini kerana saya berpandangan jika beliau masih lagi berada dalam jawatankuasa seolah-olah ada misi untuk menguasai dan campur tangan dalam PSM.

"PSNT buat keputusan untuk tidak bersama PSM bukan bersifat kepentingan peribadi ataupun mengikut emosi, tapi lebih kepada agenda pembangunan sepak takraw di peringkat kebangsaan, jika ada lagi nostalgia lama saya jangkakan agenda pembangunan dan masa depan sukan tradisi ini tidak akan berkembang dan masih ditakuk lama," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Mengenai perkembangan terkini 11 ahli gabungan baharu itu termasuk bila jawatankuasa PSM baharu akan diumumkan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, perkara itu dalam proses.

"Kita sudah dalam proses untuk tubuhkan jawatankuasa baharu, lagipun 11 ahli gabungan sudah memohon dengan Pesuruhjaya Sukan, jadi sekarang kita hanya tunggu 'lampu hijau' daripada Pesuruhjaya Sukan untuk mendapat kata sepakat menubuhkan jawatankuasa baharu walaupun hakikat sebenarnya kita sayangkan dengan PSM.

"Ini kerana kita tiada pilihan melainkan perlu bergerak segera dengan buku baharu, tapi nama baharu persatuan belum diputuskan lagi kerana setakat ini kita bergerak atas nama Gabungan Sepaktakraw Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:31 PM