USAHA membangunkan generasi belia perlu seiring dengan ilmu, adab, akhlak dan nilai kemanusiaan.
USAHA membangunkan generasi belia perlu seiring dengan ilmu, adab, akhlak dan nilai kemanusiaan.
Mohd Rizal Azman Riffin

KEKUATAN sesebuah negara pada masa mendatang banyak terletak pada generasi muda hari ini. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia merupakan tonggak yang bakal menjadi tulang belakang kepada kejayaan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Kuat atau lemahnya golongan muda hari ini menjadi petanda awal kepada kejayaan negara dan ummah pada waktu yang akan datang. Atas sebab itulah apabila membaca laporan media memaparkan insiden negatif mengenai penglibatan orang muda dalam pelbagai kancah anti sosial, maka kita semua berasa terpanggil untuk turut memikirkan sebab dan akibat perbuatan yang berlaku itu.

Golongan anak muda khususnya anak-anak kita yang masih berada di bangku sekolah seharusnya diberi pendedahan yang bukan setakat ilmu pengetahuan sahaja, mereka perlu dibimbing untuk menerapkan amalan hidup murni.

Kita sudah lali dengan perbuatan merempit di jalanan yang rata-rata mereka anak muda kita, malah mereka yang masih bergelar murid dan pelajar sekolah pun semakin mendekati budaya yang membimbangkan itu.

Tidak kurang juga dengan penyalahgunaan dadah yang sehingga kini, kekal berada pada tahap 'merah' yang memerlukan semua pihak khususnya ibu bapa mengambil serius terhadap budaya hidup anak-anak. Usah diambil sikap 'lepas tangan' dalam memberikan asuhan dan bimbingan kepada anak-anak kerana tanpa kecaknaan yang bersungguh pelbagai kemungkinan negatif boleh menimpa anak-anak kita.

Begitu juga gejala buli yang sehingga masa kini belum menemui titik henti, malahan sesekali gejala bersifat anti manusiawi itu masih berlaku. Semua perbuatan bercorak ganas dan kurang beradab itu memberi isyarat jelas untuk semua pihak mengorak langkah lebih agresif menanganinya. Kita semua tidak mahu gejala yang masa ini yang mungkin kita anggap sekadar 'kudis' sahaja, tetapi akhirnya menjadi 'nanah' yang sukar diubati.

Kita tidak rela melihat institusi ilmu seperti sekolah diresap budaya tidak beradab yang ala samseng kerana isi hati kita semua tetap kekal berhajat mahukan sekolah menjadi pusat pendidikan dan tempat didikan akhlak. Jadi, apabila terpapar sahaja laporan tentang kejadian murid yang mahu 'dikaderkan' sebagai anggota samseng, maka hati kita menjadi semakin dirundung rasa risau.

Namun, kita sangat berkeyakinan penuh pihak berwajib tidak duduk diam sekadar memperhatikan sahaja. Pasti digerakkan langkah dinamik demi membolehkan anak kita sentiasa hidup selesa dan seronok untuk belajar.

Khalifah ar Rasyidin kedua, Umar al-Khattab semasa beliau menerajui kepemimpinan negara Islam Madinah sangat 'setia' meneladani sikap baginda Rasulullah SAW dalam aspek memberikan pendidikan kepada anak-anak.

Pernah beliau secara lantang berkata, 'Aku menginginkan pemuda hebat seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Muaz bin Jabal dan Huzaifah bagi membantuku mencapai cita-cita ini.' Maksudnya, beliau sangat berharap kalangan yang memberi bantuan kepadanya untuk menggalas sebagai khalifah umat Islam ketika terdiri daripada anak-anak muda yang kuat jasmani, rohani, emosi dan keintelektualan. Umar bukan hanya mahukan golongan dewasa sebagai pendukungnya dalam mencapai cita-cita membangunkan negara ketika itu, ini kerana gabungan jitu golongan berpengalaman bersama mereka yang 'berdarah muda' tetapi berakhlak utuh pasti membuahkan natijah unggul mensejahterakan negara.

Begitu juga dengan Saidina Ali bin Abi Talib yang memandang generasi muda sebagai pencorak negara dan ummah di masa hadapan. Katanya, "Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini."

Kita tentunya boleh fahami apa yang dimaksudkannya yang seakan memberi isyarat supaya tidak memandang remeh urusan memberi pendidikan ilmu dan asuhan akal budi kepada anak-anak. Kuat jasmani, mantap rohani, utuh emosi yang tinggi daya intelektual mampu menjadi generasi muda muncul sebagai pewaris mengangkat imej negara masa akan datang dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Oleh itu, sebarang kejadian mencerminkan akhlak dan adab rendah patut dirisaukan dan diambil langkah untuk menanganinya. Pahlawan negara terbilang, Mat Kilau bukan saja bersemangat gigih menggerakkan emosi masyarakat untuk memerdekakan tanah air, tetapi dari sudut pandangannya beliau prihatin dan cakna terhadap peranan anak generasi muda.

Beliau pernah berkata, "Kalau belajar, jangan sekadar ilmu, biar kukuh juga adabnya." Sungguh benar sekali apa yang diungkap pahlawan anak jati Bumi Tok Gajah itu, kerana mana-mana individu yang memperolehi ilmu setinggi langit pun belum tentu menjadi orang yang bermanfaat untuk negara dan ummah seandainya tanpa adab dan akhlak terpuji.

Ulama kontemporari terkemuka, Prof Dr Yusuf Qaradhawi pernah berkata, "Apabila kita hendak melihat bentuk negara dan ummah pada masa hadapan, lihatlah generasi belia (generasi muda) pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini daripada mereka yang berakhlak baik dan berhemah tinggi, tentunya negara dan ummah pada masa mendatang adalah negara yang aman, makmur dan sejahtera."

Apabila kita teliti perjalanan sejarah negara serumpun kita, Indonesia, para pemimpinnya juga cakna dan begitu menghargai golongan muda untuk bersama-sama menjadi pendukung kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Misalnya, Bung Soekarno yang menjadi peneraju negara ketika itu meniupkan kata-kata penuh bersemangat dalam memupuk rasa cinta kepada negara dengan mengetengahkan harapan tingginya untuk menyaksikan kebangkitan kental anak-anak muda. Kata beliau, "Berikan aku 1,000 orang tua, nescaya akan aku cabut semeru dari akarnya. Berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia ini."

Di sini kita dapat fahami nilai sabar, kekayaan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki generasi tua apabila diadun bersama dengan kekuatan jasmani, rohani, emosi dan daya keintelektualan tinggi pemuda-pemudi, bakal menjadikan sesebuah negara dan ummah ke tahap terbilang.

Jadi, usaha membangunkan generasi remaja dan belia tidak seharusnya terhad dan difokuskan terhadap ilmu pengetahuan semata-mata, sebaliknya, adab, akhlak dan nilai kemanusiaan perlu diseiringkan juga.

Gabungan elemen tersebut tidak mustahil negara kita yang tercinta ini dan ummah keseluruhannya menjadikan generasi muda hari sebagai pewaris negara yang terbilang. Insya-Allah negara sejahtera, ummah bahagia.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:59 AM