BAGNAIA meraikan kejayaannya di atas podium bersama Martin di tempat kedua dan Marquez, ketiga. -FOTO Reuters
BAGNAIA meraikan kejayaannya di atas podium bersama Martin di tempat kedua dan Marquez, ketiga. -FOTO Reuters
AFP

Barcelona: Juara dunia yang juga juara bertahan dua kali, Francesco Bagnaia meraih kemenangan MotoGP Catalunya dan semakin menghampiri pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.

Bagnaia bersama jentera Ducati sebelum itu ketinggalan di belakang pendahulu perlumbaan Martin sebelum pelumba Itali itu memintasnya pada pusingan ke-20 di selekoh lima di mana dia terbabas ketika perlumbaan pecut semalam, untuk meraih kemenangan ketiganya musim ini.

Martin gagal untuk memintas Bagnaia yang menang dengan kelebihan dua saat untuk mengurangkan jurang dengan pelumba Sepanyol itu kepada 39 mata dalam senarai kedudukan keseluruhan.

Pelumba kegemaran tuan rumah, Marc Marquez menduduki tempat ketiga di hadapan Aleix Espargaro yang mengumumkan akan bersara pada penghujung musim awal minggu ini.

Marquez berada di tempat ketiga dalam senarai kedudukan pelumba, 41 mata di belakang rakan senegaranya, Martin.

"Sejujurnya saya sangat marah tentang semalam (kejadian ketika dalam perlumbaan pecut semasa mendahului pada pusingan terakhir) tetapi saya tahu potensi yang saya ada dan mampu memenangi perlumbaan," kata Bagnaia.

"(Ia adalah) permulaan yang sukar tetapi kemudian saya melihat beberapa pelumba bergelut di bahagian depan dan saya pergi lebih laju lagi.

"Jentera ini menakjubkan, pasukan melakukan kerja yang menakjubkan dalam menyediakan motosikal dan kini saya tidak sabar untuk perlumbaan seterusnya (MotoGP Itali hujung minggu depan)."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 9:36 PM