YAKEB akan terus membantu lebih ramai bekas atlet negara menerusi dana disediakan kerajaan.
YAKEB akan terus membantu lebih ramai bekas atlet negara menerusi dana disediakan kerajaan.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Presiden Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed mengalu-alukan pengiktirafan diberikan kerajaan kepada bekas atlet negara.

Pada Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan memperuntukkan RM5 juta dan juga merancang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara dalam Bajet 2023.

Menurut Noorul Ariffin, dia berterima kasih atas sokongan daripada kerajaan sambil memberitahu ini merupakan jumlah terbesar yang diperuntukkan untuk nasib bekas atlet.

"Kita perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas sokongan mereka kepada Yakeb.

"Ini peruntukan terbesar diberikan kepada Yakeb dan ia juga kali pertama peruntukan diberikan kepada Yakeb dan kami berterima kasih atas sokongan ini.

"Kami berharap RM5 juta ini akan menjadi jumlah tetap dalam setiap Belanjawan untuk Yakeb pada masa hadapan supaya kami boleh merancang dengan lebih baik setiap tahun. Kami mahu membantu seramai mungkin atlet dan sebanyak mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Noorul turut menyambut baik pemotongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara akan menjadi situasi menang-menang bagi bekas atlet dan syarikat.

"Atlet terkenal dengan disiplin dan dedikasi mereka, saya yakin mereka akan dapat menyumbang kepada syarikat yang mengupah dan selain itu syarikat akan mendapat pengecualian cukai," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 6:44 PM