GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Dalam penulisan kali ini, penulis ingin mengupas kata-kata indah, bersemangat dan penuh motivasi daripada Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani:"Aku lebih menghargai orang yang beradab daripada orang yang berilmu, kalau hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia."

Penulisan ini boleh disimpulkan kepada dua versi iaitu mengenal siapakah Sheikh Abdul Qadir dan versi kedua bagaimana adab yang baik akan menyempurnakan kehidupan dan bukan bermaksud orang yang tinggi ilmunya tidak mempunyai adab yang baik dan sudah semestinya kelebihan pada kita sekiranya berilmu dan mempunyai adab yang baik berbanding berilmu namun mempunyai adab tidak baik.

Siapakah Sheikh Abdul Qadir? Abdul al-Qadir al-Jilani ibn Salih ibn Jangidost, (470–561 H/1077–1166 M) adalah sheikh sufi mazhab Hambali keturunan Parsi dan pemimpin mazhab Sufi Qadiri.

Beliau dilahirkan pada 1 Ramadan pada 470 H, 1078 M, di daerah Gilan, Parsi (Iran) selatan Laut Caspian. Sumbangannya kepada pemikiran Islam melayakkannya menerima gelaran Muhiyuddin (harafiah) yang membawa maksud 'Pembangkit semula keyakinan' kerana beliau bersama muridnya dan rakan sejawat meletakkan batu asas bagi masyarakat yang kemudian melahirkan ulama seperti Nuruddin Zengi dan Salahuddin al-Ayyubi.

Keturunan Al-Jailani dilahirkan sekitar tahun 470/471H bersamaan 1077M di wilayah Jailan atau Kailan di Parsi atau Iran (lantas memberi imbuhan gelaran Al-Jailani).

Ayahanda Al-Jailani, Abu Salih Musa al-Hasani, adalah daripada keturunan Hassan bin Ali, iaitu anakanda sulung Ali bin Abi Talib dan Fatimah. Ali merupakan menantu dan sepupu Nabi Muhammad SAW, manakala Fatimah puteri baginda.

Bunda Al-Jailani adalah puteri kepada Abdullah Sawmai yang juga keturunan daripada Hussein bin Ali, adik kepada Hassan. Maka, Al-Jailani adalah keturunan Nabi Muhammad SAW melalui susur galur kedua-dua cucu baginda, Hassan dan Hussain.

Beliau banyak menghabiskan masa kanak-kanak di kota kelahirannya. Pada usia 18 tahun, beliau ke Baghdad (1095) untuk meneruskan pelajarannya dalam bidang fiqh Hambali di bawah beberapa ulama.

Beliau menerima pendidikan fiqh daripada Abu Ali al-Mukharrimi, hadis daripada Abu Bakar bin Muzaffar dan tafsir daripada Abu Muhammad Jafar.

Dalam bidang tasawuf, gurunya ialah Shaikh Abu al-Khair Hammad bin Muslim al-Dabbas. Daripada gurunya, Sheikh Abdul Qadir menerima latihan asas dan seterusnya mendapat bantuan untuk perjalanan rohaniah beliau.

Selepas tamat pendidikan, Abdul Qadir meninggalkan kota Baghdad dan menghabiskan lebih kurang 25 tahun di kawasan gurun berhampiran Iraq untuk bersuluk. Lewat usia beliau kembali ke Baghdad pada 1127 dan usianya sudahpun melebihi 50 tahun.

Ketika itu, beliau mula berdakwah kepada umum. Beliau pindah ke sekolah yang pernah dimiliki gurunya dahulu iaitu al-Mukharrimii dan di situ beliau banyak menghabiskan masa untuk mengajar.

Kemudian, beliau menjadi terkenal dalam kalangan anak muridnya. Pada waktu pagi, beliau mengajar hadis dan tafsir, manakala pada waktu petang, beliau mengadakan sesi tasawuf dan nilai al-Quran.

Selama 40 tahun daripada usianya dihabiskan untuk menyampaikan dakwah dari tahun 521 hingga 561 Hijrah. Pada waktu ini, ratusan ribu manusia memeluk Islam dan beberapa kumpulan pula diwakilkan ke luar kawasan untuk menyampaikan dakwah.

Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani meninggal dunia pada tahun 1166 (bersamaan 8 Rabiul Akhir 561H) pada usia 89 tahun di Babul Azaj dan dimakamkan di madrasahnya di Baghdad. Makam dan masjid yang pernah menjadi tempat beliau mengajar itu terletak di Babul-Sheikh, Resafa (tebing timur sungai Tigris) di Baghdad.

Kenapa adab penting?

Kesepaduan sosial: Etika dan adab membantu menggalakkan interaksi dan perhubungan harmoni dalam kalangan individu. Dengan mematuhi norma sosial, orang dapat memupuk perpaduan, rasa hormat dan pertimbangan terhadap orang lain.

Hormat dan pertimbangan Adab menyampaikan rasa hormat kepada orang lain. Tingkah laku sopan dan pertimbangan terhadap perasaan dan sempadan orang ramai menyumbang kepada masyarakat yang lebih hormat dan empati.

Kejayaan profesional dan peribadi: Memahami dan mengamalkan etika yang baik boleh memudahkan hubungan positif dalam kedua-dua tetapan peribadi dan profesional. Ia membawa kepada komunikasi lebih baik, rangkaian dipertingkatkan dan peluang yang lebih besar untuk kerjasama.

Mengkomunikasikan rasa hormat dan prihatin: Adab dan tatasusila berfungsi sebagai menyampaikan rasa hormat, prihatin dan bertimbang rasa terhadap orang lain. Perbuatan mudah seperti menggunakan bahasa sopan, menyatakan rasa terima kasih dan menunjukkan pertimbangan boleh membuat perbezaan ketara dalam cara individu dilihat dan dihargai.

Pencegahan dan penyelesaian konflik: Mematuhi etika dan tingkah laku sosial yang betul boleh membantu mengelakkan salah faham dan konflik. Ia menyediakan rangka kerja untuk menyelesaikan perselisihan faham atau menangani rungutan secara sivil.

Kepekaan budaya dan keterangkuman: Etika dan adab boleh menjadi panduan mengemudi perbezaan budaya dan menggalakkan keterangkuman. Memahami dan menghormati pelbagai adat dan tradisi boleh membantu memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan memahami.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:59 AM