DATUK Noorul Ariffin Abdul Majeed. FOTO BERNAMA
DATUK Noorul Ariffin Abdul Majeed. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Inisiatif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, menyaksikan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berada dalam keadaan stabil tanpa rasa bimbang dari sudut kewangan bagi membantu dan membela nasib bekas atlet kebangsaan.

Menurut Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, dengan keprihatinan kerajaan menyediakan dana RM5 juta pada pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu, beliau yakin yayasan berkenaan tidak akan berdepan masalah dalam memperjuangkan nasib ahlinya untuk beberapa tahun akan datang.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesyorkan kita peruntukan RM5 juta (Bajet 2024), saya rasa ia cukup untuk kita membela nasib bekas atlet untuk tempoh dua hingga tiga tahun ke depan kerana belanja kita tidak tinggi," katanya.

Ujar Noorul Ariffin, ia hanya membabitkan perbelanjaan untuk kesihatan bekas atlet kebangsaan dan juga bantuan perkakasan.

"Ini berikutan kita juga menjalin kerjasama bersama pihak luar dan program kita juga mendapat penajaan syarikat swasta," katanya.

Tambah Noorul Ariffin, Yakeb melaksanakan 32 program sepanjang 2023 dengan kerjasama pelbagai pihak.

Selain menanggung kos perubatan bekas atlet kebangsaan yang menjadi ahlinya, kerjasama dengan pihak swasta termasuk pusat perubatan seperti Hospital Thompson banyak membantu, menanggung kos pemeriksaan kesihatan (diagnosis) bekas atlet kebangsaan sebelum mendapatkan rawatan penuh di hospital kerajaan.

Tidak hanya memberi bantuan dari segi menanggung kos kesihatan, Yakeb dengan kerjasama pihak swasta turut membuka peluang pekerjaan kepada ahli malah ahli keluarga ahlinya juga mendapat manfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 5:16 PM