RAMLAH terus bahagia hidup solo.
RAMLAH terus bahagia hidup solo.
Ramlah Zainal


Jika penyanyi seusianya ada yang berdepan masalah kesihatan serta tidak boleh menyanyi, ia sebaliknya buat Ramlah Ram.

Malah, pada usia 59 tahun, juara Bintang RTM 1985 ini masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak menghadapi masalah dari segi vokal untuk terus bertahan dalam bidang seni tanah air.

Secara peribadi, Ramlah mengakui, dia sangat bersyukur kerana dirinya masih kekal relevan walaupun terpaksa bersaing dengan kemunculan ramai bakat baharu ketika ini.

"Saya tidak ada sebarang rahsia dalam menjaga kesihatan dan aspek vokal. Namun, saya jadikan 'job' (undangan persembahan) sebagai platform untuk melatih vokal. Alhamdulillah, sampai sekarang, saya tidak pernah putus menerima undangan persembahan," katanya.

Berkongsi rahsia kekal relevan pula, kata penyanyi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini, dia menganggap apa yang dikecapinya hari ini adalah berkat rezeki yang dikurniakan Allah.

Sebagai penyanyi, katanya, niat juga kena betul dan tidak boleh sombong dalam industri seni.

"Mampu bertahan dalam industri seni bukan kuasa kita, sebaliknya rezeki datang daripada-Nya. Apabila kita dikenali ramai, jangan anggap populariti yang dikecapi adalah usaha kita seorang kerana semuanya usaha kerja berpasukan.

"Jika tidak ada syarikat rakaman, pengurusan, komposer, media dan peminat tidak mungkin saya mampu bertahan sampai sekarang," katanya.

TIDAK lagi kejar glamor dan populariti.
TIDAK lagi kejar glamor dan populariti.

Mengenai lagu baharu pula, kata Ramlah, dia baru saja melancarkan single berjudul Hati sebelum Ramadan lalu untuk peminat setia.

"Saya juga tidak lagi mengejar glamor dan populariti. Jika lagu baharu mendapat sambutan, saya anggap ia sebagai bonus buat peminat," katanya.

Mengulas platform media sosial pula, kata Ramlah, dia mahu dirinya dikenali dari sudut yang positif sesuai dengan dirinya yang sudah berusia.

"Pada zaman saya dulu, kami hanya ada platform radio dan televisyen untuk mempromosikan lagu kepada peminat.

"Ia berbeza dengan zaman sekarang di mana artis muda ada banyak cara mempromosikan diri mereka. Melalui satu video, seseorang artis muda juga boleh viral (tular). Terpulang mereka hendak pilih jalan yang positif atau negatif. Saya sendiri pun banyak yang nak kena belajar dengan platform media sosial sekarang," katanya.

Sementara itu, Ramlah mengakui tidak terfikir untuk mencari pengganti pada usia sekarang selepas lebih 10 tahun hidup solo.

"Saya gembira dengan hidup sekarang dan tiada masalah pun untuk hidup solo. Saya juga lebih suka serahkan segala-galanya kepada aturan Allah kerana percaya akan diberikan yang terbaik untuk hidup kita," katanya.

Pada masa sama, kata Ramlah, hidupnya juga tidak sunyi kerana dikelilingi ramai anak saudara dan tiga kucing kesayangan iaitu Jerry, Jacko dan Adik yang dipelihara di rumah.

"Sebelum ini saya ada 30 kucing, tetapi hanya tinggal tiga sekarang kerana ada yang mati kerana sudah tua," katanya.

Ramlah pernah berkahwin dengan Kamal Roslim pada 3 November 2000 dan bercerai pada 20 Mei 2010 serta tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:11 AM