DR Wan Junaidi bersama isteri Fauziah ketika hadir pada Majlis Makan Malam Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 sempena Hawana 2024 malam ini. FOTO Bernama
DR Wan Junaidi bersama isteri Fauziah ketika hadir pada Majlis Makan Malam Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 sempena Hawana 2024 malam ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara diraikan pada majlis makan malam dihoskan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sebuah hotel di sini malam ini.

Terdahulu, ketibaan Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Majlis makan malam itu diadakan sempena Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 yang merupakan antara pengisian sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

Mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan", HAWANA 2024 berlangsung tiga hari di sini bermula semalam dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Hawana 2024 dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media termasuk dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan, Qatar dan Perancis.

Hawana tahun ini ialah penganjuran edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, Melaka (2022) serta Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

Perhimpunan wartawan Malaysia ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak, dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:14 PM