ZARITH Imaan mengakui misinya adalah membolot seberapa banyak emas bagi menebus kekecewaan dalam edisi lalu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
ZARITH Imaan mengakui misinya adalah membolot seberapa banyak emas bagi menebus kekecewaan dalam edisi lalu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik artistik dari Pulau Pinang, Zarith Imaan Khalid berharap genggaman pingat emasnya dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bagi acara all-around, semalam menjadi motivasi untuk dia meneruskan momentum sama dalam empat lagi acara, esok.

Gimnas berusia 19 tahun itu akan mengambil bahagian dalam acara melombol, batang titian, senaman lantai dan palang bertingkat yang dijadual berlangsung di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), esok.

Malah, dia mengakui sekarang ini misinya adalah untuk membolot seberapa banyak pingat emas untuk menebus kekecewaan dalam edisi Sukma yang lalu apabila sekadar meraih pingat perak dan gangsa akibat kecederaan.

"Saya boleh katakan kemenangan semalam memberikan saya lebih motivasi untuk terus lakukan yang terbaik dan saya akan berusaha untuk menang lagi.

"Saya berharap semua dapat terus berikan sokongan kepada saya," katanya yang kini sudah membuat penampilan kedua dalam Sukma.

Zarith yang juga gimnas kebangsaan itu berharap dapat membuat penampilan dalam temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan memandangkan edisi 2021 di Vietnam pada Mei lalu dia terpaksa melupakan hasrat itu selepas mengalami kecederaan.

"Saya berharap dapat pergi ke Sukan Sea Kemboja tahun depan sebab untuk edisi kali ini saya terlepas.

"Sepatutnya saya pergi tapi disebabkan kecederaan maka saya terpaksa lupakan hasrat itu. Semoga tahun depan tidak ada sebarang masalah," katanya.

Terdahulu, Zarith memperagakan aksi memukau dalam kesemua empat disiplin (melombol, batang titian, senaman lantai dan palang bertingkat) sekali gus mengesahkan tempatnya selaku pemenang pingat emas acara all-around Sukma 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 12:05 PM