JEREMIAH Loo beraksi dalam acara kekuda berpelana. FOTO NSTP
JEREMIAH Loo beraksi dalam acara kekuda berpelana. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peluang cerah buat pasukan gimnastik artistik lelaki negara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan Sea Kemboja selepas tuan rumah menetapkan peraturan baharu.

Menurut Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril, keputusan itu bakal menghalang juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo yang sebelum ini diramal mampu menyapu bersih pingat emas dalam semua apparatus yang dipertandingkan.

"Tuan rumah menetapkan peraturan baharu yang menyaksikan seorang atlet hanya boleh membawa pulang maksimum dua pingat dalam acara individu," katanya.

Pada temasya kali ini, Kemboja hanya mempertandingkan acara artistik lelaki dengan lapan emas ditawarkan menerusi acara team all around, individu all around, senaman lantai, kekuda berpelana, gelung, palang sejajar, melombol dan palang tunggal.

"Dengan peraturan baharu ini, sebagai contoh jika Carlos sudah memenangi dua pingat dalam acara individu, jadi dia tidak boleh beraksi dalam empat lagi final apparatus yang lain. Namun, untuk team all around dan individu all around dia masih boleh memenanginya.

"Jadi, ada kelebihan juga buat gimnas kita dengan penetapan peraturan baharu ini yang mana kita ada peluang untuk menang pingat individu. Apa yang paling penting sekarang adalah gimnas negara perlu bekerja keras untuk memenangi pingat," kata Afrita.

Pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu Yulo berjaya membawa pulang lima emas selepas mengungguli acara individu all around, senaman lantai, gelung, melombol dan palang tunggal (berkongsi emas dengan atlet Vietnam, Dinh Phuong Thanh).

Skuad gimnastik artistik lelaki pula ketika itu hanya meraih satu perak dan satu gangsa menerusi Tan Fu Jie dan Mohd Sharul Aimy Kamaru Hisham dalam acara kekuda berpelana.

Sukan Sea Kemboja akan berlangsung di Phom Penh dari 5 hingga 17 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 12:34 PM