ZARITH kutip 49.300 mata.
ZARITH kutip 49.300 mata.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Atlet gimnastik artistik Pulau Pinang, Zarith Imaan Khalid membuktikan kemampuan sebenar dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bagi melayakkan dirinya bergelar pemenang pingat emas acara all-around wanita, hari ini.

Acara yang berlangsung di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyaksikan Zarith memperagakan aksi memukau dalam kesemua empat disiplin (melombol, batang titian, senaman lantai dan palang bertingkat) untuk mengumpul sebanyak 49.300 mata.

Manakala, pingat perak dimenangi atlet dari Wilayah Persekutuan, Nur Marissa Zaiful Azian dengan 45.450 mata dan Hannah Yasmeen Mazwan juga dari Wilayah Persekutuan melengkapkan podium di tempat ketiga (44.800 mata).

Jika sebelum ini, gimnas berusia 19 tahun itu terpaksa bergelut dengan kecederaan ketika Sukma 2018 di Perak sehingga membantutkan usahanya untuk meraih emas, maka kejayaan kali ini adalah pengubat duka lamanya.

"Saya rasa sangat gembira dan berterima kasih kepada semua yang menyokong sejak dari awal lagi. Saya bangga dapat pamerkan aksi terbaik dalam setiap disiplin yang akhirnya memberi kejayaan kepada saya pada hari ini.

"Saya tahu ramai lagi pesaing yang hebat tapi apa yang saya buat hanya fokus kepada diri sendiri. Disebabkan itu saya mampu untuk berikan yang terbaik," katanya kepada media selepas majlis penyampaian pingat di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pada Isnin ini, Zarith berpeluang untuk menambah koleksi pingat emas peribadinya apabila dia bakal mengambil bahagian dalam empat lagi acara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 10:34 PM