AHMAD Shapawi berkata pihaknya mendapatkan penjelasan mengenai kekangan yang dihadapi oleh pihak kontinjen negeri. FOTO NSTP
AHMAD Shapawi berkata pihaknya mendapatkan penjelasan mengenai kekangan yang dihadapi oleh pihak kontinjen negeri. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beberapa acara yang dilaporkan digugurkan daripada senarai akhir Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022, dijangka dapat dianjurkan apabila temasya itu berlangsung bermula 16-24 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberi bayangan bahawa kesemua kontinjen bertanding bersetuju untuk tidak menarik diri pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan bersama pengarah-pengarah MSN Negeri hari ini.

Beliau berkata pihaknya mendapatkan penjelasan mengenai kekangan yang dihadapi oleh pihak kontinjen negeri sehingga menarik diri menjelang tarikh tutup pendaftaran akhir pada 10 Ogos lepas.

"Secara positifnya, saya rasa kita akan dapat menganjurkan Sukma kali ini tanpa perlu membatalkan mana-mana acara daripada senarai akhir, kecuali kita umumkan sebelum ini seperti terjun wanita dan 10,000 meter (m) wanita jalan kaki, yang digugurkan dari senarai awal lagi.

"Bagaimanapun, keputusan rasmi mengenai senarai akhir jumlah acara dipertandingkan hanya dapat diumumkan selepas dibentangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sukma, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa enam acara olahraga seperti 10,000 meter (m) jalan kaki, lompat bergalah, baling tukul besi, lempar cakera, lontar peluru dan lompat kijang wanita terpaksa digugurkan kerana tidak menepati syarat minimum.

Terdahulu, beberapa acara terjun wanita seperti 1 meter (m) papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama tidak dapat dipertandingkan atas alasan sama.

Syarat minimum peraturan teknikal Sukma adalah penyertaan sekurang-kurangnya lapan daripada 14 negeri secara keseluruhan.

Namun, ia dikurangkan kepada enam negeri kerana penganjuran kali ini adalah edisi khas selepas pandemik Covid-19 dengan kali terakhir temasya itu dianjurkan pada 2018 di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:53 PM