AHMAD Shapawi.
AHMAD Shapawi.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Syarat penyertaan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang mewajibkan penyertaan sekurang-kurangnya enam peserta menyaksikan beberapa acara bakal menjadi korban.

Antara sukan menjadi mangsa kepada syarat penyertaan itu adalah olahraga yang mana dimaklumkan enam acara akan dibatalkan berikutan penyertaan tidak mencukupi iaitu hanya membabitkan lima penyertaan.

Antara sukan yang mungkin akan digugurkan adalah 10,000 meter (m) jalan kaki, lompat bergalah, baling tukul besi, lempar cakera, lontar peluru dan lompat kijang wanita.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan jurulatih yang mana mereka sebelum ini sudah membuat persediaan awal terutama sejak dua tahun lalu yang mana Sukma sepatutnya dianjurkan di Johor.

Jurulatih berkenaan turut mempersoalkan bahawa Olahraga Dunia (WA) menetapkan syarat sekurang-kurangnya tiga penyertaan bagi membolehkan acara berkenaan sebaliknya Sukma menetapkan syarat enam penyertaan.

Begitupun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan menegaskan isu ini sememangnya diberikan perhatian serius dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan MSN mengadakan perbincangan bersama semua Pengarah Majlis Sukan Negeri-Negeri bagi mencari penyelesaian terbaik yang tidak akan merugikan pembangunan bakat muda sukan negara.

Katanya, penganjuran temasya Sukma masih berada di landasan yang tepat yang dianjurkan bagi tujuan menggalakkan seramai mungkin atlet muda negara untuk di ketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Seharusnya tidak timbul isu berhubung dengan penyertaan atlet pada temasya itu yang mana syarat penyertaan di temasya berkenaan sememangnya sudah dipersetujui daripada peringkat awal lagi.

Sehubungan itu Shapawi berasakan perlu untuk memberikan maklum balas terhadap beberapa kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah ada usaha mengekang penyertaan menerusi pengenalan pelbagai syarat pertandingan di Sukma XX MSN 2022 yang bakal berlangsung daripada 16 hingga 24 September ini.

Katanya, syarat penyertaan yang memerlukan penyertaan untuk setiap acara sukan perlu disertai oleh minimum lapan negeri sudah dipersetujui sejak edisi pertama Sukma pada 1986.

Namun untuk edisi ke-20 kali ini, Jawatankuasa Tertinggi Sukma memberi pengecualian khas apabila menurunkan jumlah penyertaan minimum daripada lapan kepada hanya enam negeri bertujuan memastikan lebih banyak acara dan lebih ramai atlet dapat bertanding.

"Langkah menguatkuasakan jumlah minimum ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dan jadi amalan pertandingan sukan di peringkat antarabangsa. "Pengguguran acara tidak dapat dielakkan kerana jumlah minimum enam negeri itu tidak dipenuhi. Ia dapat dielakkan jika negeri-negeri yang melakukan pendaftaran awal tidak bertindak untuk menarik diri pada saat-saat akhir sebelum tarikh pendaftaran ditutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:50 PM