TZE Liang (kanan) berganding bahu dengan Ahmad Amsyar dalam acara terjun seirama.
TZE Liang (kanan) berganding bahu dengan Ahmad Amsyar dalam acara terjun seirama.

Kuala Lumpur: Jaguh terjun negara Ooi Tze Liang (gambar) menjadi sandaran untuk meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik Rio Ogos ini.

Bagaimanapun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki atlet itu kerana semua atlet yang layak ke Olimpik memasang impian untuk meraih pingat.

Namun Tze Liang tetap optimis untuk melakukan terjunan terbaik dengan fokus utama perlu diberikan mengawal emosi dan mental.

“Tiada yang mustahil jika dapat buat yang terbaik kerana dalam pertandingan apa saja boleh jadi.

“Apa yang perlu dibuat adalah bersedia dari segi mental dan saya perlu terus kekal positif menerima setiap masalah yang mendatang kerana itu yang penting,” katanya.

Selepas layak dalam acara 10 meter platform dan 3 meter papan anjal, kini fokus Tze Liang adalah untuk cuba menempatkan diri dalam acara terjun seirama bergandingan dengan Ahmad Amsyar Azman.

Kejohanan Piala Dunia di Brazil Februari ini menjadi medan terakhir buat atlet terjun negara melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu.

Hingga kini empat atlet negara sudah melepasi kelayakan ke Olimpik iaitu Pandelela Rinong dalam acara 10m platform, Wendy Ng 3 meter papan anjal, Nur Dhabitah Sabri 10m platform dan Tze Liang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 7:17 AM