CHRISTIAN BROOKER
CHRISTIAN BROOKER
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Jurulatih terjun negara, Christian Brooker mengakui berpuas hati dengan prestasi atlet muda negara, Bertrand Lises-Enrique Harold selepas kedua-duanya melakukan penampilan sulung di peringkat antarabangsa pada Grand Prix Kuala Lumpur awal bulan ini.

Menurutnya, kehadiran permata dari Sarawak itu mampu melonjakkan kualiti penerjun negara yang akan melakukan persiapan rapi untuk Kejohanan Dunia 2019.

“Kehadiran penerjun muda ini mampu menyuntik semangat buat skuad renang negara dalam masa sama, perenang senior juga akan berasa bimbang dengan kehadiran mereka,” kata Brooker.

Brooker meluangkan sedikit masa untuk melihat kemampuan penerjun muda apabila hadir ke Sukan Malaysia (SUKMA) Perak September lalu dan memberi peluang buat Bertrand-Enrique beraksi di pentas antarabangsa.

Percubaannya ternyata berbaloi apabila Bertrand-Enrique berjaya meraih gangsa di GP KL dalam acara 10 meter platform seirama di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.

“Memang persediaan atlet terjun negara untuk tahun depan adalah mempersiapkan diri bagi Kejohanan Dunia, saya berharap mereka terus menyinar namun perjalanan masih lagi panjang menjelang Julai depan.

“Bagi Bertrand dan Enrique, saya melihat mereka beraksi amat baik di SUKMA dan kali ini saya dapat saksikan lagi kemampuan mereka di kejohanan GP. Mereka menunjukkan peningkatan dan inilah bakat muda terbaik di Malaysia,” katanya.

Bertrand-Enrique meraih perak dalam acara 10m platform seirama dan gangsa bagi acara 3m papan anjal seirama.

Enrique juga cemerlang dalam acara individu apabila meraih perak 10m platform dan gangsa 1m papan anjal, manakala Bertrand membolot satu gangsa 10m platform.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:50 PM