Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persoalan sama ada skuad terjun negara dapat menambah satu lagi slot ke temasya Olimpik Rio menerusi Ahmad Amsyar Azman (gambar) akhirnya terjawab apabila nama atlet kelahiran Perlis itu tidak berada dalam senarai akhir 34 peserta yang akan beraksi Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen selepas menerima surat Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) semalam.

“Amsyar gagal mendapat tempat dalam acara 3m papan anjal melainkan jika ada atlet menarik diri. Jika itu berlaku, Amsyar mungkin mendapat peluang,” katanya.

Bagaimanapun impian Amsyar untuk beraksi di Olimpik mungkin menjadi kenyataan apabila ASUM menimbang untuk menyenaraikannya beraksi acara 3 meter papan anjal individu menerusi slot diperoleh Ooi Tze Liang.

“ASUM mungkin membawa Amsyar bersama ke Rio dan berkemungkinan dia akan beraksi dalam 3m papan anjal bagi membolehkan Tze Liang memberi tumpuan penuh terhadap 10m platform, namun segala keputusan akan diputuskan ketua jurulatih Yang Zhuliang,” katanya.

Seramai lima atlet negara menyambar lapan slot ke Olimpik selepas berakhirnya Kejohanan Terjun Piala Dunia, bulan lalu.

Mereka membabitkan Pandelela Rinong (10m platform individu, 10m terjun seirama), Wendy Ng (3m papan anjal individu), Nur Dhabitah Sabri (10m platform individu, 3m terjun seirama), Cheong Jun Hoong (10m terjun seirama dan 3m papan anjal individu, 3m terjun seirama) dan Tze Liang (10m platform dan 3m papan anjal individu).

Empat tahun lalu, seramai lapan atlet negara layak ke Olimpik menerusi tujuh acara iaitu 3m terjun seirama lelaki dan wanita, 10m terjun seirama lelaki dan wanita, 3m papan anjal individu lelaki dan wanita dan10m platform individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:49 AM