PELARI UPM, Muhammad Zulfiqar (dua dari kanan) mahu bangkit di SUKMA 2022. FOTO Ihsan Sukipt
PELARI UPM, Muhammad Zulfiqar (dua dari kanan) mahu bangkit di SUKMA 2022. FOTO Ihsan Sukipt
Affan Rostam


Tanjung Malim: Pelari Universiti Putra Malaysia, Muhammad Zulfiqar Ismail menegaskan bahawa dia akan bangkit di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas gagal meraih emas acara 100 meter (m) temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, semalam.

Pelari Terengganu itu juga mengakui, dia mahu menjadikan Sukma sebagai medan 'membalas dendam' terhadap kekecewaan yang dialaminya dalam SUKIPT edisi ke-5 ini.

"Baki beberapa minggu ini sebelum Sukma , saya akan gunakan sebaiknya untuk menjalani latihan penuh dan kembalikan semula prestasi saya sebelum ini.

"Saya mahu bangkit kembali daripada prestasi yang kurang baik di temasya ini," katanya ketika ditemui semalam.

Muhammad Zulfiqar yang gagal meraih sebarang pingat dalam acara 100m SUKIPT 2022 itu berkata, tempoh persiapan dan latihan yang singkat dalam menghadapi temasya kali ini menjadi punca buat dirinya gagal mempamerkan aksi terbaik.

"Saya akui prestasi saya kurang memuaskan pada temasya ini. ia disebabkan saya sudah hampir 20 hari tidak menjalani latihan.

"Waktu sesi memanaskan badan lagi saya dah mula rasa lesu dan saya cuba juga untuk bermain psikologi. Tapi ia tidak berjaya," katanya.

Terdahulu, acara 100m lelaki akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan Muhammad Zulfiqar terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10.90 saat (s).

Emas acara itu dimenangi atlet Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muhammad Fakhrul Abdul Aziz dengan catatan masa 10.73s.

Perak dimenangi atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohamad Raimi Mustaffa dengan catatan masa 1087s manakala gangsa dimenangi atlet tuan rumah, Muhammad Yusridzwan Danial Yusof (10.88s).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 7:54 PM